SHAH ALAM, 12 Sept – Sebanyak RM15 juta diperlukan untuk melaksanakan agenda pendigitalan pengajian di semua politeknik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) seluruh negara pada tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti telah membuat permohonan kepada KPT bagi mendapatkan peruntukan itu. 

“Insya-Allah kita akan cuba usahakan permohonan RM15 juta itu,” katanya kepada media selepas melancarkan penutupan Minggu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Digital 2023 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini. 

Beliau berkata KPT kini dalam peringkat perancangan bagi melakukan transformasi pengajian di politeknik dan antara agenda yang diberi fokus ialah pendigitalan.

“Ia masih di peringkat perbincangan dan mungkin sebulan dua ini kita akan memuktamadkan usaha transformasi itu,” katanya. 

Mohamed Khaled berkata transformasi perlu dilakukan kerana kerajaan yakin pengajian di politeknik khasnya dalam bidang TVET penting untuk masa depan negara selain memastikan institusi itu kekal relevan dan mampu menarik minat pelajar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysi (MUDA) yang menarik sokongannya sehingga hilang majoriti dua pertiga di Parlimen tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan.

Mohamed Khaled berkata ini kerana tidak semua perkara memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

 “Kita percaya nak pinda Perlembagaan (Persekutuan yang memerlukan majoriti dua pertiga) mesti bermatlamatkan sesuatu yang baik untuk negara.

“Saya percaya kalau politik ini tidak toksik, kalau benda itu baik, saya ingat semua parti akan sokong, jadi dapatlah dua pertiga,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here