KUALA LUMPUR, 13 Sept – AirAsia mengumumkan rancangannya untuk mengaktifkan kembali keseluruhan 204 pesawatnya disokong oleh perjanjian baharu bersama rakan kongsi jangka panjang serta pembekal enjinnya, CFM International.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata fokus CFM untuk meningkatkan kestabilan pesawat di lapangan dan pemantauan maya terhadap operasi enjin LEAP-1A AirAsia merupakan pemangkin penting bagi AirAsia untuk mengaktifkan semula pesawatnya dalam seluruh kumpulan.

AirAsia berharap dapat memanfaatkan pencapaian tersebut, apabila ia mengaktifkan semula keseluruhan 204 pesawatnya dan berkembang kepada lebih daripada 300 pesawat dalam tempoh lima tahun akan datang di samping terus menghubungkan orang ramai di seluruh ASEAN dan sekitarnya dengan pilihan perjalanan yang berpatutan dan bernilai terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu telah mencapai kemajuan besar menerbangkan kembali pesawat mereka dan memulakan semula operasi, mengimbangkan ketidakseimbangan kos untuk 204 buah pesawat dan pendapatan daripada penerbangan purata 143 pesawat tahun ini.

“Sokongan daripada CFM menjadi pemangkin penting bagi kami untuk kembali mengaktifkan semula sepenuhnya pesawat kami.

“Saya bangga dengan Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan kami, dan ingin mengucapkan terima kasih kepada setiap jurutera kami bukan sahaja kerana menjalankan kerja harian mereka dengan penuh dedikasi, tetapi juga memberi tumpuan kepada usaha mengaktifkan semula pesawat di seluruh kumpulan.

“Kami akan menantikan keputusan prestasi suku keempat kami apabila kami akan melihat prestasi sebenar AirAsia dengan pengoperasian sepenuhnya pesawat,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CFM International Gael Meheust berkata AirAsia  menjadi pelanggan berharga CFM selama hampir dua dekad dan syarikat itu berbesar hati untuk menyokong rancangan mereka mengaktifkan semula sepenuhnya kumpulan pesawat.

“Kami menganggap kepercayaan AirAsia sebagai suatu tanggungjawab besar untuk terus menyokong kumpulan pesawat mereka dengan standard CFM yang tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here