KUALA LUMPUR, 13 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-80 (MTN-80) yang membincangkan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan berhutan selaras dengan Sidang Kemuncak Rio De Janeiro pada 1992.

Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook malam ini berkata turut dibincangkan ialah dasar pelupusan tanah kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) selaku penyedia perkhidmatan elektrik negara tanpa mengetepikan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan kepada Pihak-pihak Berkuasa Negeri.

“MTN-80 juga bersetuju dengan keputusan Majlis Mineral Negara Ke-2 (MMN2) yang melibatkan kelulusan secara prinsip Dokumen Prosedur Operasi Standard Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Malaysia serta syarat kelayakan penyediaan dan perakuan laporan cari gali dan penjelajahan hanya oleh ahli geologi berdaftar, ahli geologi asing berdaftar, pengamal berdaftar atau jurutera profesional dengan perakuan amalan.

Aspek ekonomi dan kemampanan merupakan perkara yang ditekankan dalam kita mentadbir urus soal guna tanah untuk diwarisi generasi akan datang,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri Mesyuarat MTN merupakan suatu wadah bagi Kerajaan Persekutuan berunding dengan kerajaan-kerajaan negeri berkaitan dasar yang menyentuh tata kelola pentadbiran tanah yang konklusif, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here