ABU DHABI, 25 Sept – Syarikat penerbangan Etihad Airways bakal menggandakan penerbangan harian antara Abu Dhabi dan Kuala Lumpur, berkuat kuasa 15 Jan 2024.

Perkembangan terbaharu itu bakal menyediakan sejumlah 14 penerbangan setiap minggu yang menghubungkan dua bandar raya berkenaan.

“Dengan perlepasan mudah dari Abu Dhabi, penerbangan kedua kami ke Kuala Lumpur akan mengoptimumkan masa untuk penduduk UAE yang ingin meluangkan masa berehat di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Hasil  Etihad Airways, Arik De,  lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

Jadual penerbangan baharu itu akan menawarkan pilihan pada siang mahupun malam, memberikan lebih fleksibiliti kepada pengembara untuk menerokai pelbagai tawaran Abu Dhabi dalam kedua-dua aktiviti perniagaan dan masa lapang .

Kuala Lumpur yang terkenal dengan Menara Berkembar Petronas ikoniknya dan gabungan unik budaya Melayu, Cina dan India terserlah dalam landskap masakan, selain pelbagai tarikan budaya.

Abu Dhabi pula memikat pengunjung dengan pelbagai tarikan, daripada keajaiban seni bina iaitu Louvre Abu Dhabi kepada pengalaman yang memacu adrenalin di Ferrari World Abu Dhabi.

Perkhidmatan tambahan itu dikendalikan oleh pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang canggih, sekali gus memberikan pengalaman perjalanan yang selesa dan moden, dengan sambungan Wi-Fi dalam penerbangan.

Etihad akan menawarkan kapasiti besar sebanyak 425,000 kerusi setiap tahun antara Abu Dhabi dan Kuala Lumpur, menandakan peningkatan kapasiti tahun ke tahun sebanyak 75 peratus.

Penambahan kekerapan pula akan meningkatkan kapasiti kargo, membuka ruang baharu untuk peluang perniagaan dan menyokong pertumbuhan perdagangan dua hala.

Dengan langkah itu, penumpang boleh menikmati pilihan yang lebih luas untuk perjalanan antara Abu Dhabi dan Asia Tenggara pada musim sejuk ini.

Etihad kini akan mengendalikan sehingga 77 penerbangan mingguan antara Abu Dhabi dan destinasi utama Asia Tenggara, termasuk Bangkok, Phuket, Manila, Jakarta dan Singapura.

Pengumuman itu dibuat selepas Etihad mengumumkan usaha besar dalam mengubah rangkaian, menempatkan syarikat penerbangan untuk pertumbuhan yang mampan.

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan hubungan Abu Dhabi dengan pasaran global, selain memperkuat industri pelancongan.

Jadual  musim sejuk baharu itu tidak hanya menampilkan destinasi terkini, tetapi juga frekuensi penerbangan yang lebih banyak dan waktu berlepas lebih mudah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here