SEREMBAN, 26 Sept – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

MK Ibrahim, 67, dipilih secara sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri selepas diusulkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan disokong oleh ADUN Pertang Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Setiausaha DUN Mohd Amin Ludin memaklumkan pada mesyuarat pertama penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Dewan Negeri Sembilan, terdapat dua nama calon Speaker dikemukakan namun seorang daripadanya ditolak kerana tidak memenuhi syarat di bawah Peraturan 2 Perintah 7 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Pada persidangan itu juga, 34 ADUN mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah, didahului Menteri Besar Aminuddin dan diikuti 10 ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta ADUN lain.

MK Ibrahim memaklumkan ADUN Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Chennah Anthony Loke tidak hadir pada persidangan tersebut atas urusan rasmi.

Persidangan DUN ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here