BANTING, 4 Okt – Sebanyak 256 projek perumahan terbengkalai swasta telah dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM23.37 bilion setakat Ogos lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata ada projek perumahan berkenaan sudah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) atau bertukar kepada status lancar.

“Mengikut kejayaan pada bulan Ogos (sahaja), kita telah berjaya pulih dan lancarkan 34 projek perumahan iaitu 27 mendapat CCC manakala tujuh lagi berjalan kembali (dengan status) lancar,” katanya selepas melancarkan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS) di sini, hari ini.

Susulan itu beliau berkata kementeriannya menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) akan meneruskan tindakan menyelesaikan dan mencegah serta melaksanakan libat urus bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta institusi kewangan swasta dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Mengulas mengenai pelancaran HIMS yang beroperasi sejak tahun lepas, Akmal Nasrullah berkata ia merupakan satu sistem pengurusan setempat dalam talian yang membolehkan kementerian itu memantau data berkaitan maklumat projek perumahan yang dikemas kini secara hampir masa nyata.

Katanya sistem berkenaan merupakan platform setempat bagi perkhidmatan pelesenan pemaju perumahan swasta serta permit iklan dan jualan, pengemaskinian status projek perumahan sehingga ke perkhidmatan perjanjian jual beli secara dalam talian (e-SPA).

“Dijangka pada suku pertama 2024, e-SPA yang dijana menerusi HIMS ini akan ditambah baik untuk membolehkan perkhidmatan tandatangan digital untuk pihak yang terlibat bawah perjanjian jual beli (rumah) dan seterusnya e-stamping menerusi kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Akmal Nasrullah berkata pelancaran HIMS ini juga merupakan antara salah satu kaedah KPKT memantau status dan keadaan projek perumahan dalam negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here