KOTA KINABALU, 4 Okt – Juruukur bangunan perlu bekerjasama dengan pemain industri dalam mencari penyelesaian ke arah mewujudkan rantaian bekalan dan sistem penyampaian perumahan yang lebih efisien, sekali gus menurunkan kos hartanah dan pembinaan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah menurunkan kos pembinaan dan harga hartanah penting dalam usaha menyediakan perumahan yang lebih baik kepada rakyat Sabah khususnya buat mereka yang berpendapatan rendah.

“Juruukur telah banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah dalam industri hartanah dan pembinaan. Saya harap mereka akan bekerjasama untuk membantu kita menyediakan perumahan yang mampu milik.

“Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan lebih banyak perumahan mampu milik untuk rakyat di negeri ini,” katanya pada Kongres Juruukur Antarabangsa di sebuah hotel peranginan di sini hari ini.

Ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe.

Hajiji turut menggesa Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) Cawangan Sabah untuk menyahut cabaran mewujudkan dasar perumahan yang mampan dan mampu milik, sebagai pelengkap kepada usaha kerajaan dalam bidang itu.

“Matlamat saya sebagai Ketua Menteri Sabah bukan sahaja untuk mengemudi pembangunan yang menggariskan aspirasi dan strategi kita bagi tahun-tahun mendatang, tetapi juga untuk membangunkan Sabah yang bersatu padu, makmur dan inklusif. Bagi mencapai visi ini memerlukan gabungan usaha semua pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here