KUALA LUMPUR, 4 Okt – Masyarakat bukan sahaja perlu berwaspada terhadap panggilan mencurigakan bagi menangani gejala penipuan, tetapi juga perlu mengatasi isu cognitive hacking atau penggodaman kognitif untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa jenayah itu.

Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata penggodaman kognitif berlaku apabila mangsa tidak dapat merasionalisasikan sesuatu perkara dan bertindak mengikut emosi, sekali gus membuka ruang kepada penipu (scammer) melakukan kegiatan mereka.

Beliau berkata perkara itu mungkin terjadi akibat perlombongan data dilakukan penjenayah penipuan yang memberikan kelebihan kepada mereka untuk melakukan analisis melalui jejak digital bagi memanipulasi pemikiran dan sikap mangsa.

“Scammer sekarang dia tak godam peranti tetapi dia godam minda kita supaya fikiran rasional kita itu akan terbungkam atau buntu sehingga emosi yang mempengaruhi kita jadi rasa ragu-ragu sebab minda kita telah digodam.

“Apa yang penting apabila kita terima panggilan mencurigakan, berhenti sejenak sebab taktik mereka menakut-nakutkan dan meminta kita membuat tindakan segera dalam keadaan takut dan dalam keadaan minda terbungkam, fikiran rasional tidak berlaku,” katanya.

Zulkarnain berkata apabila berdepan situasi tersebut, individu perlu berhenti sejenak untuk berfikir, matikan panggilan dan minta pandangan pihak ketiga atau melakukan pemeriksaan kendiri bagi mendapatkan kepastian mengenai sebarang panggilan yang didapati mencurigakan.

“Manusia ini dijadikan sifat dia terburu-buru, jadi dalam perkara melibatkan sesuatu yang tidak pasti ini atau pun meragukan, kita harus berhenti dan semak. Itu adalah dua perkara yang kita kena latih sebenarnya,” katanya.

Mengulas mengenai berita palsu, beliau berkata setiap agensi media mempunyai peranan dan tanggungjawab besar dalam mengawal kandungan yang disediakan bagi mengatasi penyebaran maklumat tidak tepat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Mengambil contoh ketika pandemik COVID-19 yang menyaksikan lambakan penyebaran maklumat tidak sahih sehingga memberikan impak kepada kesihatan umum, beliau berkata perkara berkenaan tidak seharusnya dipandang enteng kerana ia mampu menggugat keselamatan negara.

“Kita harus mendidik masyarakat, kita harus bercakap mengenai keperluan menangani berita palsu ini kerana ada sesetengah yang melihat ini sebagai lawak jenaka…mungkin dari sudut pandang orang biasa ini adalah sesuatu yang lawak.

“Kita jangan lihat perkara ini untuk diri kita sahaja dan kita kena ingat kanak-kanak berumur sembilan bahkan enam tahun telah didedahkan kepada media sosial, jadi minda mereka juga boleh dipengaruhi. Itu yang kita bimbangkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here