KULAI, 5 Okt – Penaiktarafan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini mampu meningkatkan kapasiti pengendalian penumpang kepada tujuh juta penumpang setahun menjelang tahun 2030 daripada empat juta penumpang setahun sebelum ini.

Pengerusi Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB) Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, LTAS telah mengendalikan pergerakan penumpang sebanyak 1.99 juta orang. 

“Berdasarkan unjuran SATSSB, projek naik taraf ini dijangka mampu mengendalikan jumlah penumpang lebih besar sehingga 2026 dan berdasarkan jangkaan sasaran kapasiti penumpang adalah sebanyak tujuh juta menjelang 2030,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembesaran LTAS di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Untuk permulaan, Che Khalid berkata LTAS yang berwajah baharu mulai Ogos lepas, dijangka mampu mengendalikan lima juta penumpang setahun, tahun ini. 

Beliau berkata projek naik taraf yang melibatkan kos sebanyak RM11.9 juta itu bertujuan meningkatkan tahap efisiensi, keselamatan dan kecekapan pengendalian penumpang oleh syarikat penerbangan selain memberi keselesaan kepada penumpang.

Projek yang bermula sejak Mac 2020 itu meliputi kawasan seluas 1,690 meter persegi sekali gus menjadikan keseluruhan keluasan Balai Berlepas LTAS kepada 9,806 meter persegi. 

“Ia termasuk penambahan lima pintu perlepasan, laluan pejalan kaki bertutup, tempat duduk, lif, eskalator, tangga, tandas, sistem penggera kebakaran, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta Wi-Fi, ia juga memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC),” kata beliau.

Sementara itu, Che Khalib berkata sejak pengambilalihan operasi, SATSSB telah melabur lebih daripada RM620 juta untuk menaik taraf dan meningkatkan kemudahan serta insfrastruktur operasi LTAS.

Selain mengendalikan penerbangan penumpang domestik dan antarabangsa, LTAS turut menawarkan perkhidmatan dan kemudahan seperti kompleks kargo, pembaikan penyelenggaraan pesawat dan baik pulih (MRO), logistik dan gudang, serta Zon Perindustrian Bebas LTAS.

LTAS yang merupakan antara lapangan terbang tersibuk di Malaysia, mempunyai 17 destinasi penerbangan, menghubungkan bandar-bandar domestik dalam negara dan lima bandar antarabangsa iaitu Jakarta, Surabaya, Bangkok, Ho Chi Minh City dan Canton.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here