KUALA LUMPUR, 12 Okt – Jumlah lulusan di semua peringkat pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Kejuruteraan Aeroangkasa dari 2020 hingga 2023 adalah seramai 465 orang, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata daripada jumlah itu seramai 462 melibatkan peringkat Sarjana ke bawah manakala tiga lagi di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata bagi memastikan negara mempunyai modal insan yang mencukupi dengan sasaran 5,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam pelbagai industri angkasa menjelang 2030, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang mempergiatkan usaha melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang boleh meningkatkan minat dan kesedaran golongan belia dalam bidang teknologi angkasa.

Antara inisiatif yang telah dilakukan, kata beliau adalah penyediaan tempat dan fasiliti penyelidikan untuk latihan industri dalam bidang sains, teknologi dan aplikasi angkasa.

“Bagi penempatan di ibu pejabat, pelajar akan didedahkan dengan penyelidikan dan pembangunan aplikasi pelbagai bidang berteraskan teknologi angkasa. Selain itu, pelajar juga akan mendapat pendedahan mengenai penggunaan instrumentasi dan teknik melaksanakan pencerapan astronomi di Observatori Negara Langkawi (ONL),” katanya ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Syerleena meminta kerajaan menghuraikan langkah-langkah yang ditetapkan bagi memastikan negara mempunyai bilangan lulusan yang mencukupi dalam kejuruteraan aeroangkasa dan mekanisme yang sesuai untuk menjamin pembangunan penerokaan angkasa lepas.

Selain itu katanya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut melaksanakan program jaringan kerjasama strategik dengan agensi kecemerlangan dalam bidang angkasa luar negara bagi memberi pendedahan kepada murid sekolah dan penuntut universiti dalam penyelidikan mikrograviti di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

“Antara program yang dilaksanakan sejak 2010 adalah Progam Space Seeds for Asian Future (SSAF) yang telah menarik minat seramai 67,000 pelajar di seluruh dunia dan program Kibo Robot Programming Challenge (Kibo-RPC) yang melibatkan 44 pelajar Malaysia.

“Kedua-dua program itu dianjurkan oleh Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA). Penyertaan dalam program ini telah meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar dalam pengaturcaraan robotik serta sains dan teknologi angkasa,” katanya.

Chang berkata kerajaan juga telah merangka program pembangunan teknologi pelancaran angkasa sejajar dengan hasrat negara untuk meneroka angkasa lepas.

Beliau berkata bagi mencapai tujuan itu, negara memerlukan infrastruktur kritikal fasiliti pelancar seperti landasan pelancaran, menara pelancaran dan sistem kawalan, stesen integrasi pelancaran roket, fasiliti kawalan misi, sistem komunikasi dan gudang penyimpanan bahan bakar.

“Selaras dengan pelaksanaan Teras 4 Dasar Angkasa Negara 2030 yang menggalakkan penglibatan industri tempatan dalam pembangunan sektor angkasa negara yang berterusan, inisiatif pembangunan infrastruktur kritikal ini akan dilaksanakan melalui kerjasama awam dan swasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here