KUALA LUMPUR, 13 Okt – Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) serta potongan cukai ke atas kos penerbitan sukuk SRI sehingga tahun taksiran 2027.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mencadangkan potongan cukai tambahan sehingga RM300,000 diberikan kepada syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas pengukuran, pelaporan dan pengesahan (MRV) berkaitan pembangunan projek karbon untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan syarikat menyertai pasaran karbon sukarela.

“Perbelanjaan ini boleh ditolak daripada pendapatan penjualan kredit karbon yang didagangkan di Bursa Carbon Exchange (BCX),” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kerajaan akan memastikan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 kekal relevan dengan keperluan semasa industri huluan minyak dan gas, di samping meningkatkan minat pelabur asing.

“Jawatankuasa Semakan Semula Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 yang dianggotai Kementerian Kewangan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Petronas sedang mengkaji dan merangka insentif cukai bagi projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen sulfida,” kata Anwar.

Menurutnya, kajian ini akan dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here