SEPANG, 18 Okt — Kementerian Pendidikan (KPM) akan meningkatkan usaha membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk meyakinkan pihak berkepentingan bahawa bidang itu boleh dijadikan karier pada masa hadapan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata terdapat kumpulan pelajar terutamanya yang berada di Tingkatan Enam melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju karier sekiranya mereka memilih bidang STEM.

“(Satu daripada) usaha kita adalah bagaimana untuk bercakap dengan ibu bapa, sedikit mencabar untuk meyakinkan mereka (STEM mempunyai hala tuju karier).

“Ini kerana, ibu bapa menjadi penentu pilihan kerjaya serta masa depan anak-anak dan terdapat kekangan untuk meyakinkan mereka agar anak-anak memilih bidang STEM sebagai pilihan pengajian,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Duta Guru di sini malam ini.

Fadhlina berkata usaha itu seiring dengan hasrat kerajaan memperkasa bidang STEM dalam negara dan ia juga terzahir menerusi Belanjawan 2024 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Jawatankuasa Khas STEM rentas kementerian akan ditubuhkan dalam menetapkan sasaran dan langkah bagi meningkatkan penglibatan pelajar sekolah.

Anwar turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

Sementara itu, Majlis Penganugerahan Duta Guru meraikan 253 guru daripada kohort ketiga Program Duta Guru (PDG), iaitu program melibatkan kerjasama antara KPM, Yayasan Petronas dan ‘Teach for Malaysia’ yang diperkenalkan sejak 2020.

Menerusi penganugerahan sebagai duta guru, menandakan permulaan mereka sebagai pemangkin pendidikan STEM di sekolah menengah masing-masing, terutamanya sekolah yang majoriti pelajarnya daripada keluarga B40.

PDG merupakan sesi latihan dua tahun dan program itu kini sedang melatih guru bagi kohort keempat yang terdiri daripada 453 guru STEM dari sekolah menengah seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here