KUALA LUMPUR, 25 Okt – Malaysia dan China memperkenalkan inkubator usaha niaga Belt and Road Overseas Venture Incubator (BROVI) untuk mengukuhkan kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara.

Pelancaran itu dibuat semasa Simposium Belt and Road Malaysia 2023, di sini, yang bertujuan melakar haluan ke arah pembangunan kolaborasi Malaysia Madani dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Simposium itu juga menandakan perasmian Malaysia-China Belt and Road Institute (MCBRI) untuk merangsang kerjasama akademik antara kedua-dua negara.

Kuasa Usaha Kedutaan China ke Malaysia, Zheng Xuefang berkata China bersedia untuk menjalankan secara bersama beberapa siri inisiatif dan memulakan kemajuan ketara ke arah mencapai visi bersama China-Malaysia pada masa depan.

“Konsep Malaysia Madani yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selari dengan konsep komuniti global masa depan bersama yang dicadangkan oleh Presiden Xi Jinping.

“Pemimpin kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat penting mengenai pembinaan bersama komuniti China-Malaysia pada masa depan, yang menyediakan hala tuju jelas untuk pembangunan hubungan dua hala,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran tersebut hari ini.

Menerusi kerjasama sebelum ini, Zheng berkata, inisiatif BRI dua hala yang membuahkan hasil boleh dilihat merentasi pelbagai sektor, dengan China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-14 berturut-turut.

Pada 2022, perdagangan dua hala China-Malaysia melepasi paras US$200 bilion buat kali pertama yang mencecah US$203.6 bilion. Pelaburan China di Malaysia berjumlah US$12.5 bilion pada 2022, menyumbang 33.9 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia.

Malaysia dan China juga akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara itu pada tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata secara strategik, kedua-dua konsep Malaysia Madani dan BRI berkongsi matlamat yang sama untuk mencapai matlamat pembangunan menyeluruh dan mampan bagi semua rakyat tanpa mengira kaum, kelas sosial atau agama.

“Tidak diragui, Malaysia telah mendapat manfaat yang besar daripada pertumbuhan pesat ekonomi China sejak beberapa dekad lalu, menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar kita.

“Saya yakin Malaysia boleh memperoleh perkongsian yang berharga daripada pengalaman China dalam pembangunan ekonomi, komitmen kerajaan yang kukuh terhadap pertumbuhan ekonomi, pembuatan berorientasikan eksport, tenaga kerja yang ramai dan berpendidikan, budaya keusahawanan yang berkembang maju dan menarik FDI,” katanya.

Fadillah berkata kedua-dua negara telah mencapai hasil yang luar biasa, termasuk projek transformatif seperti Laluan Rel Pantai Timur, inisiatif “Dua Negara, Taman Berkembar”, dan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Alibaba yang telah menghasilkan manfaat ekonomi dan masyarakat yang besar.

Sementara itu, Zhao Xiangdong, kaunselor sains dan teknologi di kedutaan China di Malaysia berkata sains, teknologi dan inovasi (STI) juga merupakan bahagian penting dalam kerjasama China-Malaysia yang meraih momentum kukuh.

“China akan terus bekerjasama dengan Malaysia dalam mengukuhkan kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta aplikasi berteknologi tinggi.

“Secara bersama-sama, kita akan mempercepatkan transformasi teknologi kita dan meningkatkan kualiti hidup rakyat di kedua-dua negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here