KUALA LUMPUR, 3 Nov – Dalam menyambut gesaan untuk menjalin kerjasama dan mencapai kemajuan mampan, Malaysia menyatakan minatnya untuk belajar dan bekerjasama dengan Korea Selatan, terutama dalam teknologi hidrogen.

 Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad yang  memperakui kepakaran rakan kejasama dari Korea Selatan, berkata langkah itu penting bagi memajukan keupayaan teknologi hidrogen negara bagi melengkapkan usaha pembangunan ekonomi hidrogen di Malaysia.

“Sama seperti Korea Selatan, Malaysia sedang giat meneruskan pembangunan ekonomi hidrogen memandangkan bahan gas itu mempunyai potensi untuk menjadi pemboleh yang penting dalam peralihan tenaga khasnya memandangkan ianya bersih, mampan dan fleksibel untuk ekonomi yang berdaya tahan dan rendah karbon.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia terbuka untuk perniagaan dan pelaburan asing, dan kami sedia membantu syarikat dari luar negara yang berhasrat untuk meluaskan operasi masing-masing di sini atau memperkukuh kedudukan sedia ada terutama dari Korea,” kata Nik Nazmi dalam ucapan pada Sidang Kemuncak Tenaga Mampan Malaysia-Korea 2023 di sini sempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur kedua-dua negara, pada Khamis.

Beliau berkata Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) yang baru dilancarkan, menggariskan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih untuk mengurangkan pencemaran dan meningkatkan keterjaminan tenaga dan pada masa yang sama menekankan pentingnya peralihan negara kepada tenaga rendah karbon dan tenaga boleh baharu.

Pelan hala tuju, yang dilancarkan bulan lepas, mengunjurkan bahawa menjelang 2030, Malaysia boleh mencapai pengurangan 0.4 peratus hingga 1.3 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau dan menjana sumbangan hasil yang besar kepada KDNK, selain mewujudkan ribuan pekerjaan dalam sektor tenaga bersih.

Menjelang 2050, angka ini dijangka meningkat, meletakkan Malaysia sebagai pengeksport hidrogen utama di rantau Asia-Pasifik, dengan hasil yang ketara dan peluang pekerjaan, selain menyumbang kepada pengurangan 15 peratus dalam pelepasan GHG, katanya.

Dalam menangani trilema yang dihadapi dalam sektor tenaga, iaitu mengimbangi kemampanan, keselamatan dan kemampuan, Nik Nazmi juga menekankan bahawa inisiatif peralihan tenaga Malaysia bermatlamat untuk mencapai keseimbangan.

Beliau berkata peralihan tenaga merupakan sebahagian daripada inisiatif negara yang lebih luas untuk menyusun semula ekonomi Malaysia di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, manakala Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara atau NETR adalah asas dalam membentuk Malaysia sebagai peneraju serantau dalam peralihan tenaga dalam kalangan ekonomi Asia.

“Kami optimis bahawa inisiatif peralihan tenaga Malaysia akan berjaya mengimbangi trilema tenaga. Ia akan menjana peluang pekerjaan bergaji tinggi, menarik pelaburan domestik dan asing, dan memastikan kesinambungan bekalan tenaga hijau Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae berkata sidang kemuncak itu berfungsi sebagai platform bukan sahaja untuk bertukar-tukar pengetahuan, malah berperanan sebagai pemangkin untuk projek kerjasama yang nyata, menetapkan asas untuk masa depan yang lebih mampan dan cekap tenaga di kedua-dua negara.

Sidang kemuncak itu, yang dianjurkan bersama oleh NRECC dan kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur, menghimpunkan lebih 60 pegawai dari Malaysia, termasuk pegawai dari NRECC dan kira-kira 40 wakil pelbagai agensi kerajaan dan syarikat penting Korea Selatan seperti Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga (MOTIE), Institut Ekonomi Tenaga Korea (KEEI), dan Agensi Tenaga Korea (KEA).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here