SHANGHAI, 15 Nov – Malaysia merancang untuk memperkukuh penglibatan dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) China di samping meneroka perkongsian ekonomi yang lebih luas dengan ekonomi kedua terbesar dunia itu dalam bidang pertumbuhan pesat seperti pembangunan mampan dan perdagangan hijau, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata negara telah bertindak proaktif dengan mengambil langkah penting dalam mentadbir dan mengeluarkan minyak sawit mampan.

“Pada masa ini, kira-kira 90 peratus daripada kawasan tanaman kelapa sawit berjumlah 5.26 juta hektar, yang merangkumi perladangan dan kebun kecil, telah diiktiraf berdasarkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Kawasan yang diperakui mempunyai potensi kapasiti pengeluaran tahunan yang amat tinggi sehingga 18 juta tan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Tinggi dengan Pihak Pemegang Kepentingan Utama Minyak Sawit di sini, pada Selasa.

Beliau menggesa pihak berkepentingan minyak sawit  supaya memanfaatkan peluang luas yang disediakan menerusi hubungan perdagangan dan ekonomi yang berkembang pesat antara Malaysia dan China.

“Menerusi pengawasan saya, (pihak berkepentingan utama minyak sawit) boleh tetap yakin, bahawa Malaysia akan berusaha mengekalkan keadaan optimum untuk menjalankan perniagaan dan melabur di Malaysia.

“Oleh itu, mewujudkan lebih banyak pakatan dengan syarikat Malaysia, khususnya dalam sektor penting, untuk menggalakkan kesalinghubungan yang mendalam serupa dengan pelbagai kegunaan minyak sawit kami serba guna,” katanya.

Fadillah berkata Malaysia yakin minyak sawit mempunyai potensi besar untuk menjadi lebih menonjol dalam (pasaran) minyak dan lemak China dalam jangka masa pendek.

Beliau kini dalam rangka lawatan rasmi sulungnya ke China dari 12 hingga 19 Nov, 2023 untuk memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan serta pembinaan kapasiti dalam bidang komoditi, terutama bagi mempromosikan skim pensijilan MSPO di peringkat global.

Pada 2022, eksport minyak sawit dan produk berkaitan dari Malaysia ke China mencecah US$3.72 bilion atau RM14.86 bilion.

Angka besar itu membentuk 11.4 peratus daripada jumlah eksport derivatif sawit seluruh dunia Malaysia, yang bersamaan dengan RM130.25 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here