SAN FRANCISCO, 16 Nov – Sebanyak 14 negara anggota Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) telah menandatangani perjanjian rantaian bekalan itu, menandakan bermulanya perjanjian perdagangan diterajui Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai dalam masa yang singkat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata penting pada masa ini untuk menguar-uarkan tentang faedah besar yang boleh dimanfaatkan daripada IPEF.

“Bukan sahaja kepada rakan-rakan anggota tetapi kepada seluruh dunia mengenai apa yang boleh kita capai secara kolektif di bawah Rangka Kerja ini,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu di sini pada Selasa (14 Nov) disela-sela Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Negara yang memeterai perjanjian itu ialah Australia, Brunei, Fiji, India, Indonesia, Jepun, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, AS dan Vietnam.

IPEF terdiri daripada empat tonggak utama: Tonggak 1 – Perdagangan, Tonggak 2 – Rantaian Bekalan, Tonggak 3 – Tenaga Bersih dan Tonggak 4 – Ekonomi Adil.

Rundangan IPEF merangkumi empat perjanjian berasingan bagi setiap daripada tonggak ini. 

“Kita bukan sahaja memuktamadkan dan menandatangani perjanjian pertama seumpamanya ini, tetapi kita juga mencapainya dalam masa yang singkat dan ia turut berpotensi untuk dikuatkuasakan dalam masa yang singkat juga,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selain daripada kejayaan luar biasa ini, perjanjian Tonggak 3 dan Tonggak 4 serta perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran turut dimuktamadkan dalam tempoh yang pantas.

“Walaupun kita sudah tentunya berhak meraikan semua pencapaian ini, namun ia juga adalah masa bagi kita untuk bergerak segera ke fasa seterusnya – melaksanakan apa yang telah kita bincang dan persetujui. 

“Malaysia menyedari akan proses prosiding undang-undang sebelum kita boleh menandatangani dan meratifikasi perjanjian Tonggak 3 dan Tonggak 4,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga boleh mula membuat persediaan untuk mengaktifkan mekanisme pelaksanaan, seperti badan rantaian bekalan dan jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah empat tonggak tersebut.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan Malaysia terhadap Australia di atas inisiatif untuk memulakan usaha pembinaan kapasiti dengan mengadakan latihan Perbincangan Krisis Rantaian Bekalan IPEF baru-baru ini.

Beliau berkata latihan perbincangan itu penting bagi menilai kesediaan rakan-rakan anggota dalam menangani kemungkinan krisis pada masa depan. 

Menekankan kepentingan infrastruktur berkaitan iklim

Tengku Zafrul berkata Malaysia juga mengalu-alukan cadangan Forum Pelabur Ekonomi Bersih IPEF tahunan, dengan mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung pada separuh pertama 2024.

Beliau berkata Malaysia sentiasa menekankan kepentingan pembiayaan untuk memangkin peralihan tenaga, penerimagunaan teknologi iklim dan pelaburan dalam infrastruktur dan inisiatif berdaya tahan iklim.

Menurutnya, walaupun Malaysia turut mengalu-alukan penubuhan IPEF Catalytic Capital Fund (Dana Modal Pemangkin IPEF)  penting juga untuk menyedari bahawa infrastruktur berkaitan iklim tidak selalunya boleh diterima oleh bank, namun ia sangat penting terutamanya bagi rakan anggota sedang membangun.

“Bencana berkaitan iklim yang semakin meningkat di seluruh dunia adalah petunjuk jelas tentang ancaman yang dihadapi oleh rakan anggota yang lebih mudah terdedah.

“Oleh itu, Malaysia ingin mencadangkan agar kita meneroka mekanisme pembiayaan yang sesuai untuk melaksanakan projek infrastruktur iklim yang juga boleh merangkumi institusi kewangan pelbagai hala. 

“Tumpuan kepada teknologi bersih yang inovatif, termasuk penggunaan dan penyimpanan pemerangkapan karbon (CCUS), akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) di rantau IPEF,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata walaupun CCUS telah dikenal pasti sebagai teknologi yang berpotensi untuk melepaskan GHG dalam Tonggak 3, usaha yang dilakukan dalam penyimpanan rentas sempadan adalah terbatas.

“Oleh itu, bagi memastikan pelaksanaannya, Malaysia ingin menggalakkan usaha mewujudkan rangka kerja tadbir urus dan perakaunan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. 

“Saya optimis bahawa kita akan dapat melaksanakan usaha kita dan mengekalkan momentum yang sama seperti ditunjukkan pada tahun lalu semasa merundingkan perjanjian Tonggak 2,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here