IPOH, 19 Nov – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan pemasangan penuh 36 tiang lampu pintar berintegrasi (Smart Pole) yang berfungsi dalam memperluaskan rangkaian teknologi 5G, selewat-lewatnya pada 2027.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata pembinaan tiang lampu berkenaan adalah di bawah Inisiatif Pembiayaan Swasta (FPI) manakala pemasangannya dilakukan pihak dilantik yang mempunyai lesen Pemberi Kemudahan Rangkaian Individu (NFPi).

“Jaringan telekomunikasi 5G ini merupakan satu kepentingan dalam kehidupan masa kini dan pada masa sama ia mendukung cita-cita ke arah Ipoh Bandaraya Pintar 2030.

“Untuk pembinaannya, pihak yang mempunyai lesen NFPi akan membina (tiang) dan apabila siap ia akan disewakan kepada syarikat telekomunikasi bagi penyediaan signal frekuensi. NFPi juga akan membayar sewa bulanan kepada MBI bagi kawasan yang digunakan untuk pembinaan tiang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Pemasangan Smart Pole Sekitar Bandaraya Ipoh di Dewan Silver Star Kampung Simee di sini hari ini.

Rumaizi berkata objektif utama inisiatif itu dilaksanakan bukan hanya sebagai kemudahan kepada rakyat malah menjadi penyumbang dalam menarik pelaburan asing ke bandar raya berkenaan.

“Inisiatif yang digerakkan merupakan keperluan dalam membuka lebih ruang pelaburan asing masuk ke bandar raya ini. Ia akan melimpahkan pelbagai manfaat terutama daripada sudut penjanaan ekonomi negeri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How berkata sesi penerangan berkaitan pembinaan infrastruktur berkenaan perlu dilakukan secara terperinci kerana ada pihak mendakwa ia menyumbang kepada kesan radiasi yang menjejaskan kesihatan rakyat.

“Mahu atau tidak, sebagai wakil rakyat kita perlu turun ke bawah (akar umbi) untuk ceritakan kepentingan dan kebaikan pembinaan infrastruktur ini daripada pelbagai sudut.

“Perkara ini saya fikir sesuatu yang wajar dilaksanakan bagi meredakan kerisauan mereka kerana ia merupakan agenda penting kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan memajukan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here