KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membincangkan dan meneliti cadangan berhubung pengecualian moratorium bagi penawaran pengajian undang-undang di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pembentangan semula Laporan Akhir Kajian Hala Tuju Pengajian Undang-Undang di Malaysia pada hujung bulan ini. 

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata perbincangan akan melibatkan pihak berkepentingan di Sabah seperti badan peguam bela profesional bebas di negeri itu, Sabah Law Society.

Beliau berkata ketika ini, terdapat moratorium atau pembekuan program yang berkuat kuasa bermula 2006 sehingga kini bagi penawaran pengajian bidang itu di peringkat Sarjana Muda oleh IPT sepertimana dalam Laporan Kajian Hala Tuju Pengajian Undang-Undang di Malaysia pada 2017 dan 2023.

Laporan berkenaan sebelum ini, yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan seperti Majlis Peguam Malaysia dan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang mencadangkan agar moratorium penawaran Program Sarjana Muda Undang-Undang diteruskan.

Sebelum ini, KPT telah mengenakan moratorium terhadap penubuhan fakulti undang-undang yang baharu bagi memastikan Malaysia tidak mengalami lambakan siswazah undang-undang.

Terdahulu, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) dalam soalan tambahan membangkitkan isu berhubung ketiadaan program pengajian undang-undang di Sabah yang menyebabkan anak negeri itu terpaksa berhijrah keluar bagi mengikuti pengajian berkenaan.

Isnaraissah Munirah mencadangkan pengecualian moratorium bagi penawaran pengajian itu di Sabah, bagi memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan di negeri itu tanpa perlu memikirkan kos pengangkutan yang mahal. 

Sementara itu, Mohammad Yusof berkata buat masa ini, bagi menampung sebarang keperluan dan permintaan, para pelajar dari Sabah boleh memanfaatkan peluang pengajian dalam bidang berkenaan di 22 IPT seluruh negara yang menawarkan pengajian undang-undang bagi peringkat sarjana muda.

“KPT juga akan melihat secara teliti sebarang keperluan dan kesesuaian penambahan program baharu Sarjana Undang-Undang bagi memastikan kelestarian program ini, kualiti serta prospek pasaran graduan yang dikeluarkan termasuklah bagi memenuhi keperluan semasa negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Berhubung cadangan Isnaraissah Munirah agar kursus atau program berkaitan undang-undang tanah adat Sabah diwujudkan sebagai integrasi nasional, Mohammad Yusof berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi melihat keperluan itu.

“Saya akan mendapatkan maklumat lebih lanjut daripada pihak UiTM dan UMS bagi membincangkan kesesuaian dan keperluan program ini (undang-undang tanah adat Sabah) ditawarkan IPT berkenaan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal berhubung perkembangan terkini cadangan pembinaan Politeknik Kota Belud, Mohammad Yusof berkata sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan pada 2024 untuk kerja peringkat awal yang melibatkan pengambilan tanah, termasuk untuk Politeknik Kota Belud. 

“Setelah fasa awal ini selesai, ia (pembinaan politeknik) akan disusuli dengan permohonan dan kelulusan pembangunan kampus,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here