KUALA TERENGGANU, 24 Nov – Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang terlibat dengan banjir digesa supaya segera menyemak dan mengesahkan senarai ketua isi rumah yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi membolehkan kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan segera Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas.

“Sebaiknya kita usahakan semasa isi rumah terlibat berada di PPS, dan ia dilaksanakan dengan mengisi borang pengesahan, dan kalau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ada di sekitar, pastikan JKKK datang dan sahkan borang itu.

“Sebaik sahaja disahkan, maka JPBD boleh serahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Atas Tol di sini, yang setakat petang ini menempatkan 333 mangsa daripada 87 keluarga.

Beliau berkata NADMA juga telah menyalurkan peruntukan asas kepada agensi berkaitan di peringkat negeri sebagai peruntukan awal yang boleh terus disalurkan kepada ketua isi rumah terlibat sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu Armizan yang juga Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata kerajaan telah melantik 86 Pemborong Terpilih Daerah dan 162 Peruncit Terpilih Daerah di Terengganu yang dibenarkan menyimpan stok bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sebagai persediaan kecemasan dalam menghadapi musim banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here