KUALA LUMPUR, 28 Nov – Pembangunan lestari Malaysia memerlukan pendekatan melibatkan kerajaan dan negara untuk berkembang, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata negara juga memerlukan sasaran yang jelas dan pasti merentas sektor, termasuk pembuatan, tenaga, pengangkutan dan infrastruktur.

“Kita melihat ini sebagai peluang untuk kita berkembang secara dinamik dan meluas. Peralihan hijau bukanlah beban tetapi merupakan peluang,” katanya di forum “Mempercepat Komitmen Industri Malaysia Ke Arah Matlamat Kelestarian” (Accelerating Malaysia’s Industry Commitment Towards Sustainability Goals) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Justeru, kerajaan komited untuk merealisasikan enam matlamat seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang sejajar dengan inspirasi pelaburan negara.

Matlamat NIMP adalah untuk meningkatkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, memperluaskan hubungan domestik, membangunkan kluster baharu dan sedia ada, menambah baik keterangkuman dan meningkatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

NIMP 2030 turut menetapkan 12 sasaran berdasarkan hasil untuk mengukur industri pembuatan Malaysia dan transformasi ekonomi; dua daripadanya adalah mengurangkan risiko ekonomi terhadap faktor ESG dan usaha memacu ke arah matlamat sifar bersih.

Beliau yakin indikator yang ditetapkan dapat membentuk masa depan Malaysia sebagai ekonomi yang lestari.

Sementara itu, pengerusi MIDA Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob menyatakan bahawa agensi itu telah berterusan melibatkan diri dengan sektor swasta dan awam untuk merealisasikan rancangan hijau Malaysia.

Beliau berkata MIDA juga telah berjaya mewujudkan visi kelestariannya pada 1 Ogos 2023.

“Dalam landskap yang semakin berkembang ini, amalan lestari bukan lagi pilihan. Ia adalah komitmen global yang tidak boleh dipandang sebelah mata oleh individu atau negara,” katanya.

Forum itu dianjurkan dengan kerjasama Pusat Matlamat Pembangunan Lestari Nasional (SDG) dan United Nations Global Compact Malaysia dan Brunei, bertujuan untuk mencetuskan revolusi kemampanan atau kelestarian, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat peringkat pertengahan (MTC) dengan mempromosikan penggunaan teknologi dan menerima amalan ESG.

MIDA turut berkongsi peranannya sebagai penggerak ekonomi negara dalam meneruskan promosi pelaburan dalam projek pelaburan lestari seperti e-mobiliti, tenaga diperbaharui dan bioekonomi pekeliling pada forum berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here