KUALA LUMPUR, 28 Nov – Sebanyak 260,000 unit rumah mampu milik atau 52.38 peratus daripada sasaran 500,000 unit dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjelang 2025 telah dibina setakat ini, Dewan Negara diberitahu. 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata usaha pembinaan rumah mampu milik itu akan dipergiat supaya dapat merealisasikan impian bahawa setiap rakyat Malaysia layak memiliki rumah (each Malaysian deserve a home).

“Selaras wawasan Malaysia MADANI semua kediaman perlu bersifat manusiawi. Oleh demikian KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) telah menetapkan keluasan minimum rumah mampu milik mesti sekurang-kurangnya 750 kaki persegi, tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Ini adalah spesifikasi minimum supaya kita pastikan keluarga walaupun duduk rumah mampu milik, tidak ada stigma seolah-olah mereka adalah daripada golongan bawahan. Ini penting menjaga darjat dan martabat rakyat,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berhubung kajian dalam membangunkan rumah mampu milik dengan keluasan minimum 600 kaki persegi untuk dijual atau disewa kepada rakyat. 

Menjawab soalan Senator Datuk Husain Awang yang ingin tahu tindakan tegas dalam mengatasi isu bilik sewa ‘sarang burung’, Nga berkata KPKT telah mengeluarkan surat arahan kepada semua Pihak Berkuasa Negeri dan 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara pada 23 Okt lepas, untuk mempergiat dan memperkukuhkan penguatkuasaan di kawasan pentadbiran masing-masing.

Ia antara lain dengan melaksanakan pemeriksaan terhadap bangunan dan rumah kediaman secara berkala dan konsisten serta responsif terhadap aduan awam yang diterima mengenai isu bilik sewa ‘sarang burung’, katanya.

Beliau berkata Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta133] menetapkan tidak dibenarkan untuk mendirikan, mengarah atau membenarkan pembinaan apa-apa sekatan, petak, galeri, loteng, bumbung, siling atau binaan lain dalam sesuatu bangunan tanpa kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.

Sebelum ini, media melaporkan kegiatan ubah suai sedemikian yang semakin berleluasa khususnya di bandar besar sehingga ada premis kedai di Kuala Lumpur diubah suai bagi menempatkan 38 bilik sewa dengan penyewa hanya boleh duduk dan baring di dalamnya pada kadar sewa RM300 sebulan.

Nga berkata PBT juga boleh mengarahkan mana-mana bangunan yang telah, sedang atau hampir hendak didirikan tidak mematuhi syarat ditetapkan dalam Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta133] untuk diruntuhkan atau dirobohkan.

Menurut Nga, PBT boleh mengarahkan berbuat demikian melalui notis kepada pemilik premis bangunan atau rumah kediaman.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here