SEREMBAN, 17 Dis – Semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini diminta agar terus memperkukuh parti masing-masing dan tidak hanya bergantung kepada kelebihan berada dalam kerajaan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ini kerana kekuatan partilah yang akan menentukan kemenangan pada pilihan raya akan datang dan bukannya jawatan yang dipegang oleh mereka dalam kerajaan.

“Parti lain, kerajaan lain, kerana kalau kita bergantung kepada kerajaan untuk menguatkan parti sahaja tak boleh… ambil sejarah UMNO dan Barisan Nasional (BN), partinya kuat tapi bila kemuncak memerintah boleh kalah pada Pilihan Raya Umum pada 2018 dan 2022.

“Ertinya berada dalam kerajaan belum tentu kuat, parti mesti ada identiti sendiri untuk bergerak. Saya sebut tadi kami (Pakatan Harapan) hebat dulu tapi kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ketika dalam kerajaan, Semenyih malah di Tanjung Piai juga kalah, itu masa memerintah.

“Jadi janganlah bila kita dah memerintah jadi Menteri, Timbalan Menteri, berada dalam syarikat milik kerajaan, kita dah kurang ambil tahu pasal parti sebab ia berlainan bila hadapi pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali ke-8 di sini hari ini.

Mengenai pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah sesi 2023-2026 minggu depan, Mohamad berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada perwakilan untuk menentukan calon yang mereka mahu.

Sejumlah 124 calon bersaing merebut 27 kekosongan sebagai Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada pemilihan yang bakal diadakan serentak dengan Konvensyen Nasional Amanah 2023 di Klang, Selangor iaitu pada 23 dan 24 Dis ini.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata PH perlu menjalin kerjasama erat dengan UMNO sekiranya mahu merampas empat negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

“Pertingkatkan perpaduan kita, kalau campur undi sokongan pada BN dan PH, insya-Allah kita boleh menang beberapa kerusi Parlimen di empat negeri itu,” katanya.

Mohammad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, juga berkata pihaknya akan membuat bancian jika berlaku kerosakan tanaman akibat banjir di Pantai Timur ketika ini sebelum bantuan disalurkan mengikut kemampuan kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here