BUTTERWORTH, 19 Dis – Sebanyak 200,000 pengguna di daerah Barat Daya di bahagian pulau dan Seberang Perai mengalami gangguan bekalan air selepas saluran paip di dasar Sungai Perai di sini bocor.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K. Pathmanathan berkata kerja-kerja kimpalan bawah air oleh pakar untuk membaiki saluran paip itu dijadualkan bermula hari ini.

“Ini adalah saluran paip utama yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua ke saluran paip ketiga dasar laut ke Pulau Pinang dari Butterworth di tanah besar hingga ke kawasan Macallum di Pulau Pinang. Saluran paip pecah itu ditemui kira-kira 8.26 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata PBAPP telah melantik kontraktor pakar dari Pelabuhan Klang, Selangor untuk menyiasat kejadian itu kerana saluran paip berkenaan terletak di dasar Sungai Perai iaitu kira-kira 3.5 meter (m) di bawah permukaan sungai.

Pathmanathan berkata pakar penyelam komersial dari Pelabuhan Klang telah tiba di tempat kejadian petang semalam dan melakukan pemeriksaan 10.30 malam tadi.

“Semasa pemeriksaan, penyelam telah menemui lubang berukuran kira-kira 20 sentimeter (cm) x 30cm yang pecah pada bahagian permukaan saluran paip dan hari ini, kerja kimpalan oleh pakar dalam air dijadualkan untuk membaiki saluran paip dengan mengimpal plat keluli 60cm x 60cm di atas bahagian yang pecah.

“Pihak kontraktor akan menentukan masa terbaik untuk bermula kerja berdasarkan cahaya untuk penglihatan dan keadaan sungai untuk keselamatan,” katanya.

Beliau berkata bagi memudahkan kerja kimpalan, PBAPP terpaksa menutup sementara saluran paip yang rosak itu dan akan menghebahkan senarai kawasan terjejas dalam masa terdekat.

“PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan kami akan memberikan kemas kini dengan kerap di Facebook PBAPP hari ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here