PUTRAJAYA, 5 Jan — Anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang tidak menjana keuntungan akan ditutup atau ditukar kerana kementerian tidak mahu menanggung ‘biawak hidup’, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah mengarahkan semua pengerusi agensi di bawah KKDW untuk memantau prestasi entiti masing-masing. 

“Sila tukar syarikat yang tidak mempunyai keuntungan dan elok cari jalan untuk sumbang keuntungan itu kepada agensi atau badan induk KKDW. Jika tidak, arahan saya – tutup.

Ini sangat penting supaya kita tidak tanggung biawak hidup dalam organisasi kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun 2024 KKDW di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa anak syarikat di bawah KKDW telah ditutup tahun lepas kerana tidak menjana keuntungan dan senarainya akan diumumkan di Parlimen nanti.

“Telah ada yang ditutup, kami juga tawar ‘management buy out’ kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan. Kita serahkan kepada mereka dengan bayaran nominal bagi mereka meneruskan jika ia keluar dari badan induk (KKDW),” katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Ahmad Zahid berkata tindakan menukar dan menutup anak syarikat tidak menjana keuntungan adalah acuan baharu dan ia telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya Perdana Menteri juga telah mengarahkan anak syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan melaksanakan pendekatan sama seperti dibuat di KKDW.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata aspirasi Desa MADANI telah digagaskan dengan berpaksikan akronim KKDW iaitu kemahiran dan pengetahuan; keberkesanan dan kecekapan; data dan digital serta ‘Wow-Factor’ sebagai usaha memangkin gerak kerja warga KKDW. 

“Kita tahu kementerian ini bertanggungjawab terhadap kemajuan masyarakat desa. Untuk itu, warga KKDW mesti memiliki tahap kefahaman dan pengetahuan serta kemahiran dalam segala isu berkaitan kemajuan desa,” katanya. 

Beliau turut melontarkan beberapa pendekatan dan sasaran yang boleh dijadikan sebagai program gamechanger dan berimpak tinggi untuk diperhalusi serta dibincangkan, antaranya berkaitan Desa to Global (D2G).

“Ia bermatlamat mengangkat potensi produk dan perkhidmatan usahawan desa untuk dipasarkan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga luar negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here