IPOH, 5 Jan — Kerajaan negeri optimis 1.8 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri ini akan melaksanakan pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang penghujung Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi berkata selepas dilancarkan pada 2 Jan lepas, seramai 45,655 penduduk direkodkan telah mendaftar dalam sistem tersebut.

“Jumlah terkini yang dikeluarkan melalui dapatan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, merekodkan Perak sebagai negeri ketiga tertinggi yang mendaftar dalam sistem tersebut.

“Bagi mencapai sasaran penuh iaitu 1.8 juta penduduk berdaftar melalui sistem ini, kita telah menawarkan perkhidmatan di 70 PEDi serta 13 Pejabat Penerangan Daerah di Perak khusus untuk membantu masyarakat mengisi permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas mengadakan lawatan kerja di Kaunter Pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8, Tambun di sini, hari ini.

Terdahulu, PADU yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibangunkan menerusi kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), selain dibantu pelbagai pihak di peringkat negeri.

Menerusi sistem itu, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU serta mengemas kini dan mengesahkan 39 maklumat diri yang diperlukan.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata pihaknya juga akan mengadakan taklimat kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bagi membolehkan mereka membantu memudahkan rakyat terutama di kawasan pedalaman berdaftar melalui sistem tersebut.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar orang ramai berhati-hati serta tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada PADU.

“Sebelum ini, kita pernah melihat cubaan daripada ‘scammer’ untuk memanipulasi orang ramai melalui pautan yang terus kepada sindiket penipuan tersebut.

“Jadi saya menasihatkan rakyat yang mempunyai kemusykilan berhubung PADU untuk berhubung terus dengan agensi atau jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here