BUTTERWORTH, 16 Jan – Penggubalan Akta Parlimen Berpenggal Tetap dapat mengurangkan masalah dan isu politik jika berjaya dilaksanakan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

“Kita (DAP) bersetuju (jika akta itu diwujudkan) kerana dari segi prinsip ia perkara yang baik, namun begitu perlulah dilihat dari segi pelaksanaannya,” katanya dalam sidang media ketika ditanya tentang pendirian DAP terhadap cadangan akta berkenaan.

Beliau berkata sistem Parlimen itu pernah dilaksanakan di United Kingdom iaitu apabila akta sedemikian diwujudkan, Parlimen tidak boleh dibubarkan sewenang-wenangnya oleh Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun dan perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk diputuskan Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Loke yakin bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang sedang membuat kajian perkara itu, akan membawa cadangan berkenaan ke Kabinet.

Sementara itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata berhubung pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, beliau telah bermesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dan mendapat arahan untuk menyediakan Memorandum Jemaah Menteri untuk dibawa ke Kabinet.

“Kita sedang cuba untuk memuktamadkan perkara ini dalam masa terdekat dan Perdana Menteri telah mengarahkan agar satu Memorandum Jemaah Menteri disediakan untuk projek LRT Pulau Pinang diluluskan pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, Loke menyaksikan Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman antara Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Aset Keretapi (RAC) Datuk Azhar Ahmad dengan Pengurus Besar Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) ‘Ainul Fadhilah Samsudi.

Melalui memorandum persefahaman ini, LPNPP sebagai agensi kerajaan negeri yang berperanan dalam hal ehwal perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, akan membantu RAC dalam penyusunan semula setinggan di Kampung Manis bagi memastikan tiada penduduk yang tercicir.

Perkampungan setinggan yang mempunyai keluasan 14.82 hektar terletak di atas tanah kereta api hak milik RAC bakal berubah wajah menjadi sebuah kawasan yang moden dan membangun tidak lama lagi.

Loke ketika berucap berkata konsep pembangunan yang akan direncanakan di atas tanah ini kelak bukan semata-mata mengetengahkan aspek komersial, tetapi juga terdapat komponen lain seperti hab pengangkutan, peruncitan, institusi pendidikan dan yang paling penting, perumahan.

“Potensi Kampung Manis telah diketengahkan dalam Pameran Hartanah RAC 2023 yang diadakan pada 24 Ogos 2023.

“Hasil daripada pameran itu, sebanyak lapan tapak tanah kereta api berjaya menarik perhatian pemaju untuk dibangunkan secara Request for Proposal (RPF) dengan dua tapak tanah kereta api terletak di negeri ini iaitu Kampung Manis dan Bukit Tengah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here