PUTRAJAYA, 29 Jan – Dapatan daripada sesi libat urus dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Aspirasi Simposium yang diadakan hari ini perlu dimanfaatkan untuk persediaan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB), kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Rafizi berkata dapatan berkenaan boleh digunakan bagi merangka pelan jangka masa pendek dan panjang bagi KEB yang akan berlangsung selama lima hari bermula 29 Feb ini.

“Saya dimaklumkan program TERAJU Aspirasi Simposium ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh TERAJU dan bakal dilaksanakan secara tahunan.

“Saya merasakan ia suatu langkah yang baik dan perlu diteruskan kerana ia adalah ruang yang sangat baik untuk membincangkan kajian-kajian yang telah dijalankan dan memperoleh resolusi yang diperlukan untuk masa depan,” katanya.

Teks ucapan Rafizi dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron pada majlis perasmian TERAJU Aspirasi Simposium itu.

Mengenai KEB, Rafizi berkata kongres berkenaan merupakan agenda nasional untuk menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera yang lebih adil, saksama serta inklusif.

Beliau berkata KEB akan melakar sejarah menjadi platform tertinggi perbincangan agenda pemerkasaan bumiputera untuk mencapai matlamat masa kini dan masa depan.

Justeru, Rafizi mahu semua pemegang taruh bumiputera termasuk usahawan untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam menghasilkan suatu dasar baharu yang berimpak tinggi demi anak bangsa.

Berkongsi peranan TERAJU, Rafizi berkata pelbagai penyelidikan telah dijalankan oleh unit itu yang mengkhususkan kepada penglibatan bumiputera dalam pelbagai sektor bernilai dan berimpak tinggi.

“Ia menghasilkan lonjakan yang diperlukan untuk bumiputera bersama-sama menjulang pembangunan negara,” katanya.

Simposium sehari bertemakan Bumiputera: Aspirasi dan Harapan Hari Depan yang dianjurkan oleh TERAJU itu menampilkan beberapa ahli panel bagi membincangkan pelbagai isu serta cabaran yang dihadapi golongan bumiputera, antaranya Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sabah Prof Datuk Dr Ramzah Dambul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here