NIBONG TEBAL, 4 Feb – Kementerian Pendidikan sentiasa menambah baik kaedah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan pentaksiran itu. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses memantapkan PBD berjalan dari semasa ke semasa dan kaedah itu sentiasa diperbaiki termasuk dengan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan ibu bapa.

“Malah kita di KPM juga merujuk pada pakar serta dalam masa sama memastikan guru-guru dilatih dan terlibat dengan latihan pengukuhan.

“Ini untuk pastikan mereka ini (guru-guru) diangkat dari segi prestasi, kompetensi dan kecekapan mereka untuk membuat pentaksiran serta libat urus dengan ibu bapa untuk memahamkan mereka bagaimana pentaksiran itu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha KPM untuk memperkemaskan  pelaksanaan PBD di sekolah.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di sini hari ini.

Sebelum ini, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad dilaporkan berkata PBD ialah langkah yang baik tetapi jika dilaksanakan dengan tidak tepat maka akan berlaku kekeliruan dalam kalangan guru dan ibu bapa. 

Anuar berkata guru-guru juga tidak dapat melaksanakan PBD dengan berkesan disebabkan jumlah murid yang terlalu ramai di dalam kelas.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata penting untuk memahamkan semua pihak khususnya ibu bapa bagaimana pentaksiran itu dilakukan oleh para guru di sekolah.

PBD katanya ialah kaedah terbaik untuk memastikan proses menilai aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan sosial murid dijalankan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM giat menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) di semua sekolah bermula 10 Jan lepas dan dijangka selesai pada 11 Feb ini.

“Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM788.17 juta BAP kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here