PUTRAJAYA, 21 Feb – Malaysia dan Kanada menyatakan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian, perikanan dan ternakan selain mengalu-alukan kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pertanian. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu antara inti pati perbincangan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup dengan Menteri Pertanian Agrimakanan Kanada Lawrence MacAulay hari ini yang turut menyentuh berkaitan aspek kerjasama dua hala dalam bidang keterjaminan makanan.

Menurut KPKM, semasa pertemuan itu Arthur telah memperkenalkan produk pertanian Malaysia seperti nanas dan turut menyatakan hasrat untuk mengeksport buah-buahan tropika tempatan ke pasaran Kanada.

“Beliau juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Kanada yang mengambil giliran jawatan Pengerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi 2024,” menurut KPKM.

Terdahulu, Arthur menerima kunjungan hormat daripada MacAulay di Wisma Tani, di sini dan pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM Datuk Azah Hanim Ahmad, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid dan pegawai KPKM.

Arthur turut mempelawa Kanada untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) yang dijadual berlangsung pada 11 hingga 22 Sept depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here