KUALA LUMPUR, 16 Mac – Hubungan dua hala Malaysia dan Jepun terus diperkukuhkan melalui pelbagai agensi dan kemudahan yang ditaja oleh Bantuan Pembangunan Rasmi (ODA) Jepun untuk meningkatkan ekonomi dan modal insan kedua-dua negara.

ODA Jepun ke Malaysia bermula pada tahun 1956 apabila pelatih teknikal pertama melawat Jepun dari Persekutuan Tanah Melayu. Kerajaan Jepun sejak itu sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Malaysia sehingga kini.

Baru-baru ini, media tempatan dibawa melawat dua kemudahan ODA Jepun iaitu loji “Advanced Hybrid Ocean Thermal Energy Conversion” (OTEC) di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di Shah Alam, Selangor.

Loji eksperimen OTEC yang sedang dibangunkan secara bersama oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan sokongan Universiti Saga Jepun, adalah yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara.

Pengarah OTEC UTM, Dr T. Sathiabama berkata loji yang bertujuan mempromosikan penyelidikan antarabangsa dan antara disiplin untuk pengkomersilan OTEC, adalah projek berterusan yang mengkaji  penjanaan kuasa boleh diperbaharui yang stabil melalui pertukaran haba antara air laut dalam dan di permukaan.

Pada masa sama, projek itu juga bertujuan untuk menghasilkan dua juta liter air minuman setiap hari bagi setiap megawatt (MW) tenaga elektrik yang dihasilkan, dengan kos lebih rendah.

“Air laut dalam juga boleh digunakan untuk kegunaan pelbagai guna seperti penyejukan udara untuk pusat data, akuakultur, pertanian, kosmetik dan banyak lagi,” katanya.

Projek penyelidikan itu terletak di bawah Perkongsian Penyelidikan Sains dan Teknologi untuk Pembangunan Mampan (SATREPS), sebuah program di bawah Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST) untuk projek penyelidikan yang menyasarkan isu global.

Sathiabama berkata loji OTEC dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Sementara itu, CIAST sebuah agensi latihan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)  bertindak sebagai institusi utama dalam pembangunan dan peningkatan latihan kemahiran di Malaysia.

Penubuhan CIAST disokong melalui Kerjasama Teknikal Malaysia-Jepun di bawah Projek Pembangunan Sumber Manusia ASEAN pada Ogos 1983 dan dirasmikan oleh Menteri Buruh ketika itu, Datuk Mak Hon Kam pada 30 Ogos 1985.

Pengarah CIAST, Mohd Manoj Jumidali berkata selain kampus utama CIAST di Shah Alam, 14 Kampus Satelit CIAST (CSC) telah ditubuhkan di seluruh negara sejak tahun 2018 dengan kapasiti melatih sehingga 1,050 pelatih setiap tahun.

“Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Jepun dalam usaha meningkatkan kualiti sumber manusia dan berjaya melahirkan tenaga pengajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bertaraf dunia,” katanya.

Kursus dalam perkhidmatan yang ditawarkan di CIAST adalah kursus modular dan disesuaikan mengenai latihan kemahiran, termasuk teknologi komputer (rangkaian dan sistem), elektronik dan mekatronik, serta latihan pengajar, termasuk latihan pedagogi dan metodologi pengajaran.

Antara tahun 1984 hingga 2023, CIAST telah menerima 277,947 penyertaan untuk program sepenuh masa dan separuh masa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here