KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kementerian Pengangkutan kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan pelan pembangunan fasa dua sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di lapan pintu masuk darat di sempadan Malaysia – Thailand. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pelaksanaan sistem itu yang menggantikan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) memerlukan penelitian mendalam kerana akan menyebabkan perbelanjaan tinggi kepada kerajaan, selain mengambil kira cabaran dan kerumitan di setiap lapan pintu masuk terlibat.

“Cabaran dan kerumitan ini berdasarkan lokasi pintu masuk itu, bilangan kenderaan yang keluar dan masuk serta struktur sedia ada di kompleks pintu masuk berkenaan yang tidak menyokong pemasangan sistem RCVEP itu.

“Namun, pelan pembangunannya dijangka dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya sebelum penggal keempat tahun ini dan mudah-mudahan ia dapat menyelesaikan isu melibatkan kenderaan Thailand ini,” katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap isu yang dibawa oleh Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berhubung kemasukan kenderaan komersial dan persendirian Thailand yang tidak terkawal di sempadan Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.

Hasbi berkata kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap masalah lalu lintas yang berlaku di sempadan negara terutama jika ia boleh menggugat keselamatan awam.

Sepanjang tahun lepas, katanya sebanyak 4,828 notis telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan asing Thailand atas pelbagai kesalahan di bawah ICP.

Kesalahan itu antaranya tidak mempamerkan ICP (245 kes), mempamer ICP tidak mengikut kehendak yang ditetapkan (1,165), gagal mengemukakan ICP (22 kes) dan tiada perlindungan insurans (480 kes).

Sementara itu, bagi pergerakan kenderaan barangan Thailand pula, beliau berkata peraturan untuk pelaksanaan Asean Framework Agreement On The Facilitation of Goods In Transit telah diwarta pada 20 Nov lepas dan berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

“Permohonan telah dibuka untuk kelulusan permit pada 9 Jan 2024 … pergerakan kenderaan barangan ini tertakluk kepada protokol negara-negara ASEAN yang terlibat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here