KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia mencatatkan kenaikan 25 peratus dalam perdagangan dua hala dengan Kanada sejak 2018, ditunjangi oleh Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang berkuatkuasa bagi Malaysia pada November 2022.

Dalam tempoh 15 bulan lepas, terdapat penerimaan menggalakkan terhadap pengeluaran Sijil Asal (CO) oleh perniagaan Malaysia untuk eksport ke rakan CPTPP, termasuk Kanada.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata walaupun keseluruhan perdagangan Malaysia dengan Kanada merosot pada 2023 berbanding 2022, namun “unjuran tahun ini kelihatan lebih cerah dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan perdagangan barangan pada 3.3 peratus bagi 2024”.

“Malaysia berbangga untuk menjadi tuan rumah kepada syarikat Kanada seperti Celestica, Sun Life dan syarikat lain yang telah berkembang maju di sini selama lebih sedekad.

“Sehingga hari ini, sebanyak 96 projek pembuatan yang disertai Kanada telah dilaksanakan, dengan jumlah pelaburan bernilai US$274 juta.

“Tiga sektor teratas bagi pelaburan Kanada ialah elektrik dan elektronik (E&E), produk logam asas, serta kayu dan produk kayu yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 11,027 orang,” katanya dalam ucap tama beliau pada pelancaran ‘The Team Canada Trade Mission’  (TCTM), di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata TCTM  yang dilancarkan hari ini itu merupakan platform untuk meningkatkan perdagangan dan juga pelaburan antara Malaysia dan Kanada. 

Beliau berkata tiga faktor menarik yang boleh dipertimbangkan oleh ahli TCTM untuk datang ke sini, termasuk dasar pembangunan dan pembaharuan industri negara yang jelas yang akan memacu eksport pada masa depan, pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin dan patuh kepada undang-undang dan platform perdagangan dikongsi bersama oleh kedua-dua negara seperti CPTPP, APEC dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-Kanada (ACaFTA) yang akan datang.

“Kami amat mengalu-alukan pelabur Kanada untuk bekerjasama dengan kami dalam sektor seperti semikonduktor (reka bentuk IC dan fabrikasi wafer), bahan kimia khusus, bahan canggih, aeroangkasa, farmaseutikal dan peralatan perubatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata menerusi agenda ‘Push for Net Zero’ dan kemampanan, Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 turut menyasarkan sektor pertumbuhan tinggi seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga boleh baharu (TBB), Pemerangkapan Karbon, Penggunaan dan Penyimpanan (CCUS), pembuatan hijau dan ekonomi sirkular yang sangat selari dengan objektif TCTM.

“Untuk memastikan industri kami terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) – menerima prinsip ESG, kami melancarkan Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (atau i-ESG) untuk sektor pembuatan pada September tahun lepas.

“Sehubungan itu, rakan kami yang sedia ada dan yang berpotensi dari Kanada amat dialu-alukan untuk menawarkan kepakaran mereka bagi membantu membina kapasiti ESG PKS kMI,” katanya. 

Tengku Zafrul berkata pelaksanaan pelaburan yang berdisiplin menyaksikan beberapa projek perkilangan bermula lebih awal daripada garis masa biasa antara 18 hingga 24 bulan.

“Pada tahun lalu sahaja, hasil daripada pelaksanaan berdisiplin kami, terdapat beberapa projek yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang lebih singkat iaitu kurang daripada 18 bulan, ada yang dalam tempoh 12 bulan. Ini termasuk Enovix, Ferrotec Manufacturing dan Ultra Clean Technology.

“Mana-mana sektor yang anda sasar dari segi pelaburan atau perdagangan, anda boleh berharap pada pelaksanaan kami yang sangat berdisiplin, serta kepatuhan kepada undang-undang, sekiranya anda mempertimbangkan untuk menjadikan Malaysia hab perdagangan atau pelaburan serantau anda,” katanya.

Mengenai perjanjian perdagangan bebas bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua negara, termasuk CPTPP, Tengku Zafrul mengalu-alukan pengerusian Kanada bagi Suruhanjaya CPTPP untuk 2024, dan mengulangi sokongan Malaysia terhadap keutamaan yang digariskan oleh negara itu pada 2024, termasuk  mengetuai Kajian Umum CPTPP, dan mempertingkatkan penggunaan CPTPP oleh PKS, usahawan wanita dan perniagaan penduduk peribumi.

“Selain CPTPP, kami juga optimis mengenai potensi perdagangan tambahan melalui ACaFTA, yang mana Malaysia juga merupakan negara penyelaras. Malaysia berharap untuk memastikan kejayaan ACaFTA apabila mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2025,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, Menteri Penggalakan Eksport, Perdagangan Antarabangsa dan Pembangunan Ekonomi Kanada Mary Ng menyifatkan TCTM sebagai platform untuk mewujudkan peluang bagi mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Sebagai sebahagian daripada Strategi Indo-Pasifik yang mengukuh dan mempelbagaikan perkongsian Kanada, beliau berkata Malaysia akan meningkatkan daya tahan perdagangan, pelaburan dan rantaian bekalan Kanada.

“Ini adalah bahagian yang paling pesat berkembang di dunia. Dan untuk kami berada di sini bersama Malaysia adalah usaha yang sangat penting yang dilakukan Kanada.

“Dan Malaysia, dengan asas ekonomi anda yang berdaya tahan, peningkatan kelas pertengahan, kumpulan tenaga kerja, sokongan infrastruktur, merupakan hab serantau yang menarik untuk syarikat dan pelabur Kanada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here