BEIJING, 12 Mei – Bersempena dengan sambutan ulang tahun hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 pada tahun 2024, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu (UPPBM), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan bersama-sama Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dan Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China (PERSOMANA) 2024.

Persidangan ini memberi peluang kepada penyelidik-penyelidik dalam pelbagai bidang Pengajian Melayu dari Malaysia dan China untuk berkongsi penyelidikan dan penerbitan, mengembangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu di China dan meneguhkan kajian-kajian berteraskan sosial dan budaya Melayu-China di institusi pengajian tinggi di China.

Ini sekaligus memberi ruang dan peluang kepada ahli-ahli akademik bidang sosiobudaya kedua-dua negara menimba lebih banyak ilmu pengetahuan terutamanya dalam konteks budaya, sejarah, kesusasteraan, bahasa dan terjemahan dalam ruang lingkup bahasa Melayu.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dr. Habibah A Wahab mewakili Naib Canselor USM berkata, Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan sejak itu, hubungan Malaysia-China bertambah kukuh dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak swasta.

“Kini di negara China, terdapat 17 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu pelbagai peringkat yang berfokuskan kepada pengajaran bahasa, persuratan Melayu, kebudayaan Melayu dan kemasyarakatan Melayu,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China 2024 (PERSOMANA 2024) dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Pengajian Melayu di China di Hotel Amari SPICE, Bayan Baru, Pulau Pinang.

Sementara itu di majlis yang sama, Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar China di Malaysia, Zhao Changtao berkata sejak terjalinnya hubungan diplomatik China-Malaysia, kedua-dua buah negara telah mengekalkan hubungan kerjasama yang mengutamakan persahabatan, keikhlasan, kepentingan bersama dan keterangkuman bagi mendorong pembangunan dan kemajuan bersama dalam pelbagai bidang secara berterusan, terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Bagi dua buah negara yang masing-masing mempunyai sejarah ketamadunan yang gemilang ini, interaksi antara bahasa sentiasa menjadi sebahagian yang penting dalam kerjasama kita.

“Sepanjang setengah abad yang lalu, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi merobohkan benteng bahasa demi mewujudkan interaksi dan kerjasama yang kukuh,” jelas beliau lagi.

Zhao Changtao berharap walaupun China dan Malaysia jauh dari segi kedudukan geografinya, namun ia tidak terpisah dengan budaya sesama negara yang memiliki daya tarikan dan nilai yang istimewa.

“Dengan memperkukuh interaksi antara budaya, kita dapat belajar daripada satu sama lain dan berkembang maju bagi menyumbang kebijaksanaan dan tenaga kita dalam membina komuniti masa depan yang dapat dikongsi bersama oleh seluruh umat manusia,” tambahnya.

Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China 2024 (PERSOMANA 2024) dan Simposium Pelan Strategik Pengembangan Pengajian Melayu yang berlangsung selama dua hari ini mengetengahkan para pakar, cendekiawan dan penyelidik dari kedua-dua negara berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing untuk meneroka peluang kerjasama yang lebih meluas dalam pembangunan sosiobudaya antara Malaysia dan China.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here