ISKANDAR PUTERI, 12 Mei – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) dijangka dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang melibatkan keluasan 3,505 kilometer persegi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz berkata ia membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai, Pasir Gudang dan Kota Tinggi.

“Johor juga telah mencadangkan 16 sektor ekonomi yang dijangka dapat memberikan limpahan sosioekonomi antaranya sektor elektrik dan elektronik, perubatan, farmaseutikal, penerbangan, kimia khusus, logistik, kesihatan serta pendidikan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Beliau berkata sektor lain yang dicadangkan termasuk kewangan dan perkhidmatan perniagaan, tenaga, ekonomi digital, pelancongan, makanan dan teknologi pertanian, industri kreatif, industri halal serta perkilangan.

“Semua perkara ini masih dalam perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan apabila semua maklum balas serta pandangan telah diperhalusi dan diambil kira,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hasrunizah Hassan (UMNO-Pulai Sebatang) dan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) mengenai status pelaksanaan dan butiran projek JS-SEZ

Sementara itu, Onn Hafiz (BN-Machap) berkata JS-SEZ dapat melonjakkan sektor ekonomi Johor serta meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini.

“Kita juga telah menggariskan sasaran makro dan indikator yang hendak dicapai melalui pembangunan JS-SEZ, ia mampu menjadi pemangkin ataupun booster kepada kejayaan agenda Maju Johor 2030, pertamanya, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM260 billion melalui pertumbuhan tahunan sebanyak tujuh peratus.

“Kedua, pendapatan isi rumah sebanyak RM13,000 sebulan dan ketiga, 400,000 peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri mampu menerapkan model pembangunan dan kemajuan di Shenzhen, China untuk diterjemahkan dalam JS-SEZ di negeri ini.

Ini berikutan sesi libat urus yang diadakan bersama lebih 40 syarikat pelabur berpotensi di Shenzhen yang mendapat maklum balas positif setelah majoriti mereka cukup yakin untuk melabur di Johor.

“Keyakinan ini berasaskan kepada faktor-faktor antaranya kedudukan geografi Johor yang sangat strategik dan ketersediaan tanah untuk pelbagai sektor ekonomi.

“Selain itu, Johor juga mempunyai infrastruktur yang baik meliputi pelabuhan, lapangan terbang, jaringan jalan raya dan utiliti bahkan kos menjalankan perniagaan meliputi kos tanah dan sumber manusia yang kompetitif.

“Kestabilan politik dan dasar mesra pelabur yang jelas juga menjadi faktor yang menarik minat pelaburan untuk berlabur di negeri ini,” katanya.

Pada 11 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam (MoU) JS-SEZ antara Malaysia dengan Singapura.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi Rafizi Ramli serta Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here