KUALA LUMPUR, 13 Mei – Bank Dunia menyediakan bantuan kecemasan kepada Rio Grande do Sul, yang terjejas teruk akibat hujan dan banjir baru-baru ini, dengan angka kematian akibat banjir bersejarah itu mencecah 136 orang.

Dalam satu kenyataan, Bank Dunia menyatakan kira-kira US$125 juta daripada projek yang sedang berjalan sedia untuk diagihkan segera.

Dana tersebut datang daripada projek “Program Ketahanan Bandar di Selatan Brazil”, “Program Revitalisasi Kawasan Pusat Porto Alegre” dan “Program Sokongan bagi Bolsa Família Baharu”.

Pemangku Pengarah dan Pengurus Operasi Bank Dunia untuk Brazil, Sophie Naudeau menyatakan bahawa Bank Dunia berdiri teguh bersama penduduk negeri Rio Grande do Sul yang terjejas akibat bencana itu.

“Kami mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan krisis dan pembinaan semula yang dikaitkan dengan bencana alam di beberapa negara di seluruh dunia dan kami membawa pengetahuan ini untuk menampung pemulihan pesat negeri ini.

“Kami juga bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa yang kompeten untuk mencegah bencana seperti ini pada masa depan daripada menyebabkan kerosakan peribadi dan material yang begitu banyak,” tambah Naudeau.

Jumlah kematian akibat ribut dan banjir di negeri Rio Grande do Sul, selatan Brazil, telah meningkat kepada 136, dengan 125 orang masih hilang dan 756 lagi cedera, menurut agensi pertahanan awam negeri itu pada Sabtu, lapor Xinhua.

Sementara itu, Bank Dunia menyatakan pasukan mereka sedang memberikan bantuan teknikal dalam menilai kerosakan, keutamaan sumber dan pengagihan dana.

Selain bantuan kewangan, pasukan Bank Dunia turut menyediakan bantuan teknikal secara percuma untuk membantu pihak berkuasa di peringkat persekutuan, negeri dan perbandaran menangani keputusan serta tindakan yang diperlukan dalam pelbagai bidang.

Bantuan ini termasuk penilaian kerosakan dan keperluan, perancangan tindakan dan cara untuk memastikan pelaksanaan dana yang paling cekap. Keutamaan dilakukan berdasarkan keperluan paling mendesak kerajaan dan penyelarasan rapat dengan rakan kongsi lain, tambahnya.

Bank Dunia berkata ia sedang berbincang dengan kerajaan persekutuan, negeri dan perbandaran serta Regional Development Bank of the Far South (BRDE) mengenai menyediakan sumber baharu secara pantas.

Dana ini akan digunakan untuk membiayai pemulihan dan memberikan bantuan teknikal dalam merangka apa yang disebut “Pelan Marshall” untuk membina semula negeri tersebut, termasuk membangunkan ketahanan bandar dan struktur pengurangan banjir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here