SUNGAI BULOH, 16 Mei – Kerja pemasangan peti pembekal voltan rendah atau ‘feeder pillar’ baharu yang membekalkan tenaga elektrik pada lampu di sepanjang 4 kilometer (km) Jalan Kepong-Kuala Selangor (FT54) akan bermula Jun ini dan dijangka siap dalam tempoh 16 minggu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pemasangan feeder pillar melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 itu akan ditempatkan di kawasan terang dan terdedah kepada orang awam bagi mengelakkan perbuatan vandalisme, seperti kecurian kabel dan komponen alat itu berulang kembali.

“… saya difahamkan (vandalisme kecurian) telah berlaku empat kali dalam dua tahun ini, dan yang terbaharu ini ia berlaku tahun lepas. Kita (akan) bina (dan) kebalkan lagi kotak besi dan berkunci, ini (kerana) walaupun ada pagar (sebelum ini) agak mudah untuk mereka rosakkan dan mereka boleh masuk dan curi.

“(Masalah lampu jalan tidak berfungsi berlaku) sepanjang 4km (melibatkan) dalam 200 lampu (jalan) dan satu lampu isyarat. (Apabila) lampu isyarat pun terkesan juga, itu yang bahaya,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di lokasi berkenaan, hari ini.

Nanta berkata Polis Diraja Malaysia juga akan membuat pemantauan di kawasan tersebut dengan lebih kerap selepas ini selain akan mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya diperlukan pada masa akan datang.

Bagaimanapun, beliau berharap masyarakat dapat turut memainkan peranan dengan melaporkan kegiatan mencurigakan kepada pihak berkuasa sebagai langkah menjaga harta awam demi faedah dan kebaikan bersama.

Sementara itu, KKR dalam kenyataan memaklumkan permasalahan lampu jalan tidak berfungsi di Jalan Kepong-Kuala Selangor (FT54) telah berlaku sejak Ogos 2023 yang berpunca daripada kecurian kabel dan komponen feeder pillar, dengan satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Petaling.

Menurut kenyataan itu, peruntukan sebanyak RM500,000 telah diluluskan pada Februari lepas melibatkan RM150,000 bagi kos penyenggaraan rumput untuk membersihkan semak dan cadangan pemasangan feeder pillar baharu dengan ciri antivandalisme seperti pemasangan barrel lock, sangkar berkunci dan lampu.

Selain itu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan bagi kos pembaikan kabel bawah tanah dan komponen lampu jalan jenis SON (sedia ada) yang rosak sepanjang KM31 hingga KM48 manakala  RM50,000 lagi untuk kos pembaikan sistem lampu isyarat berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sungai Buloh yang turut terkesan.

“Untuk makluman, KKR telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kerja-kerja penyenggaraan feeder pillar dan kabel di lokasi ini pada 2023. Kerja senggaraan ini telah disiapkan sepenuhnya oleh JKR pada 8 Mei 2023.

“Malangnya, kes vandalisma telah dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tiga bulan setelah kerja penyenggaraan itu,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here