ISKANDAR PUTERI, 17 Mei – Lokasi jalan rosak yang belum dibaik pulih di seluruh Johor masih berbaki 979 daripada 2,642 lokasi yang dikenal pasti dalam tempoh dua tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata 1,075 kawasan jalan rosak telah dibaiki tahun lepas dan 588 lokasi lagi akan dibuat sepanjang tahun ini.

“Insya-Allah momentum ini telah pun dirasai di sesetengah kawasan sebagai contoh jalan Kota Tinggi- Mersing dan Lebuhraya Pasir Gudang,” katanya dalam penggulungan perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari.

Mohamad Fazli berkata isu kekurangan anggota untuk tujuan kerja-kerja pemantauan sentiasa menjadi cabaran bagi pihak kerajaan. 

Menurutnya tugas itu penting bagi memantau kualiti kerja, spesifikasi bahan, prosedur operasi standard (SOP) dan tempoh siap sesebuah projek.

“Bagi mengatasi kekurangan ini, perunding dilantik bagi mewakili kerajaan untuk memantau semua aspek tersebut,” katanya.

Mengenai banjir kilat yang sering berlaku di Johor, Mohamad Fazli berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengenal pasti lokasi atau ‘hotspot’ banjir tersebut.

“Saya telah mencadangkan supaya kerja-kerja penyelenggaraan parit tidak dibuat secara pukul rata dan hendaklah dilakukan sekerap mungkin terutama bagi kawasan hotspot banjir,” katanya.

Beliau berkata koordinasi juga penting kerana kerja-kerja naik taraf perlu dilakukan secara menyeluruh supaya tiada berlaku ‘bottleneck’ akibat saiz parit atau saliran yang berbeza dan tidak mampu menampung kapasiti air banyak. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here