KUALA LUMPUR, 21 Mei – China komited untuk memperkukuhkan lagi  kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pertukaran budaya, pelancongan, pendidikan, serta sains dan teknologi, kata Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Beliau berkata kerjasama ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, secara berterusan meningkatkan sentimen persahabatan antara rakyat, serta menyuntik kandungan dan dorongan baharu  ke dalam hubungan dua hala.

“Melangkah ke hadapan, kita harus terus mengukuhkan persahabatan yang telah lama terjalin, menyokong kepentingan teras masing-masing, menangani kebimbangan utama masing-masing, dan mempromosikan perkembangan jangka panjang dan stabil dalam hubungan China-Malaysia.

Kita mesti memperkukuh penjajaran strategi pembangunan kita, mempereratkan kerjasama berkualiti tinggi, mengintegrasikan pemodenan China dengan visi ‘Malaysia MADANI’, dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

China akan terus melangkah maju dalam perjalanan baharu membina sebuah negara sosialis moden dalam semua aspek manakala Malaysia akan mencapai pembangunan baharu di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan,” kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Kesembilan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) dan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, di sini malam ini.

Ouyang juga memuji PUCM atas sumbangan besar dalam memupuk hubungan China-Malaysia selama sembilan tahun yang lepas, dalam mempromosikan kerjasama perniagaan dan pertukaran budaya serta memuji peranan unik media trilingual “Malaysia-China Insight” dalam meningkatkan persefahaman bersama.

Malaysia secara rasmi menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 31 Mei 1974, menjadikannya negara anggota ASEAN pertama yang menghulurkan tangan persahabatan kepada Beijing.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun yang lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here