SEOUL, 28 Mei – Mesyuarat Pemimpin China, Jepun, Korea Selatan ke-9 diadakan di sini pada Isnin, disertai Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.

Li menyatakan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan membina bagi mendorong proses penyelesaian isu Semenanjung Korea melalui saluran politik.

Beliau berkata China, Jepun dan Korea Selatan harus memanfaatkan kelebihan pembangunan masing-masing, secara aktif memenuhi keperluan ASEAN dan negara-negara jiran lain untuk membina enjin kerjasama serantau yang baharu.

Sementara itu, ketiga-tiga negara ini harus bekerjasama untuk memperkukuh momentum kerjasama ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan (10+3).

“China bersedia bekerjasama dengan Korea Selatan dan Jepun untuk mempromosikan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan, selain memelihara keamanan dan kestabilan serantau dan sejagat untuk jangka masa panjang,” kata Li.

Ketiga-tiga pihak bersetuju untuk melaksanakan “Prospek Kerjasama China, Jepun, Korea Selatan bagi 10 Tahun akan Datang” yang diluluskan pada mesyuarat pemimpin ke-8, mewujudkan penginstitusian kerjasama tiga negara, mengekalkan komunikasi dan kerjasama rapat dalam rangka kerja pelbagai hala melibatkan ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan untuk bersama-sama menjaga keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran dunia.

Selain itu, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk menetapkan tahun 2025-2026 sebagai Tahun Pertukaran Budaya China, Jepun, Korea Selatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here