KUCHING, 28 Mei – Wartawan dan pengamal media diseru bersama-sama membantu Kementerian Komunikasi dalam menangkis penyebaran berita tidak benar, khususnya di platform media sosial. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Forum Ekonomi Dunia (WEF) dalam Laporan Risiko Global 2024 menyenaraikan penyebaran maklumat salah dan berita palsu sebagai antara risiko global utama di dunia. 

Sehubungan itu sambil memanfaatkan teknologi, beliau berkata adalah penting untuk semua pengamal media sentiasa berwaspada dan melakukan penilaian kritikal dalam setiap pelaporan masing-masing

“HAWANA 2024 bertemakan “Etika Teras Kewartawanan Mapan” yang antara lain menggalakkan pengamal media agar cakna dengan perkembangan teknologi semasa dan mengaplikasikannya dalam tugasan harian.

“Banyak maklumat yang tersebar di platform media sosial mengandungi berita palsu atau diputar belit. Saya mohon rakan-rakan media untuk membantu Kementerian Komunikasi khususnya, dalam menangkis penyebaran berita tidak benar,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di sini, petang ini.

Kemuncak sambutan HAWANA 2024 yang bertema “Etika Teras Kewartawanan” dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dua Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, di samping kira-kira 1,000 tetamu yang terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Mengulas lanjut Fahmi berkata kerajaan akan terus menangkis penyebaran berita palsu menerusi platform sedia ada, iaitu Sebenarnya.my yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MyCheck Malaysia yang diuruskan Bernama serta segmen Biar Betul! yang disiarkan Jabatan Penyiaran (RTM) setiap hari.

Sambutan HAWANA adalah acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan edisi tahun ini berlangsung di Sarawak, mengangkat tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan”.

Wakil persatuan, kelab media dan wartawan yang hadir adalah dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait, yang telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak manakala Bernama adalah agensi pelaksana.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media tempatan kepada negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here