KLANG, 28 Mei – Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta membuat penelitian lebih terperinci berhubung kos pembinaan jalan sebelum sesuatu projek diluluskan bagi mengelak penggunaan peruntukan kerajaan secara berlebihan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pegawai yang dipertanggungjawabkan perlu melihat secara menyeluruh projek tersebut dari segi bentuk muka bumi serta kerja tanah yang perlu dilakukan dan membuat perbandingan kos dengan pembinaan infrastruktur yang setara agar dana yang diluluskan adalah munasabah.

“Saya dapati ada projek pembinaan jalan dengan kos berbeza walaupun projek itu tidak melibatkan kos pengambilan tanah serta tidak perlu melakukan kerja-kerja tanah tambahan sebelum jalan dibina.

Jika terdapat dua projek jalan yang tanah dan muka buminya adalah setara, janganlah satu jalan itu kosnya RM10 juta, satu lagi jalan kosnya mencecah RM12 juta… itu jelas berlebihan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan JKR di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad mahu perkara yang melibatkan penggunaan wang rakyat secara berlebihan itu diberi perhatian segera oleh semua kakitangan dan pegawai JKR agar peruntukan yang disediakan kerajaan digunakan secara lebih berhemah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata Kementerian Kerjà Raya (KKR) akan memohon peruntukan lebih tinggi bagi kerja naik taraf jalan dan jambatan Persekutuan di seluruh negara dalam Belanjawan 2025 kerana jumlah RM2.8 bilion yang disediakan untuk tahun ini tidak mencukupi.

Beliau berkata berdasarkan penelitian, KKR memerlukan sehingga RM3 bilion bagi melaksanakan kerja-kerja tersebut kerana sebahagian besar jalan Persekutuan yang beroperasi ketika ini memerlukan  penyelenggaraan segera.

“Setiap jalan mempunyai jangka hayat tertentu yang boleh Jadi lebih pendek atas beberapa faktor termasuk cuaca, menampung lebih muatan dan faktor tanah seperti mendap, berair dan sebagainya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here