IPOH, 31 Mei – Kerja-kerja penukaran rumput padang di gelanggang rasmi The Bos Gaurus iaitu Stadium Perak dijangka bermula pada November depan selepas tamat pusingan pertama Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata projek yang ditaja oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berjumlah RM500,000 itu dijangka mengambil masa tiga hingga empat bulan.

Menurutnya, projek penukaran rumput kepada jenis Zeon Zoysia itu terpaksa dilakukan bermula awal November bagi memastikan Perak FC mampu bermain menggunakan rumput baharu pada musim hadapan.

“Insya-Allah rumput padang Stadium Perak akan dinaik taraf daripada rumput ‘Cow Grass’ kepada rumput ‘Zeon Zoysia’ dan Kerja penggantian rumput ini akan dilaksana bersama kerja menaik taraf sistem saliran padang.

“Selepas kerja naik taraf sistem saliran dilakukan, barulah kita lakukan proses penukaran rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass yang dipakai sejak 1997,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI Mei 2024 di Dewan Mesyuarat MBI dekat sini, hari ini. 

KBS melalui Menterinya Hannah Yeoh pada Januari lalu dilapor menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri. 

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu.

Rumaizi menambah, Stadium Perak akan menjadi stadium ketiga di Malaysia yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Nasional Bukit Jalil. 

“Antara kelebihan menggunakan rumput Zeon Zoysia ini ialah kita berpeluang menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak antarabangsa kerana padang ini berkelas dunia yang mencapai standard antarabangsa,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah ketika ditanya sama ada venue perlawanan akan berubah ke tempat lain, pihaknya menjelaskan ia akan diputuskan kelak. 

“Perkara itu (penukaran venue perlawanan Perak FC) hanya akan diputuskan oleh Perak FC selepas mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). 

“Mereka akan perhalusi supaya satu keputusan muktamad dapat diambil dan keputusan yang dibuat kelak berjalan dengan baik,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here