KAMPAR, 4 Jun — Kerajaan sedang merangka pembangunan ekosistem dan nilai rantaian kenderaan berasaskan tenaga hidrogen yang menjadi satu daripada agenda dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pembangunan itu akan memfokuskan kepada proses pembuatan dan penghasilan tenaga berkenaan dalam skala besar sekali gus berupaya menampung permintaan umum.

“Projek ini dibangunkan secara berfasa. Walaupun bermula pada 2030 namun kita telah melepasi fasa pertama baru-baru ini yang melibatkan sesi ‘showcase’ atau pengenalan terhadap teknologi hidrogen (kenderaan) kepada  umum. Kita nak rakyat faham dan mengetahui tenaga ini boleh digunakan.

“Untuk fasa kedua pula, kita akan bina ekosistem hidrogen itu secara menyeluruh yang turut membabitkan pembangunan bersepadu merangkumi aspek bekalan, pembuatan dan permintaan hidrogen itu sendiri termasuk kepada kenderaan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program24th Asian Physics  Olympiad (APhO) di Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) di sini hari ini yang turut disertai  Presiden APhO Prof Kwek Leong Chuan serta Presiden UTAR Prof Datuk Dr. Ewe Hong Tat.

Chang berkata usaha yang ingin direalisasikan itu juga satu kaedah dalam membantu negara mencapai sasaran sifar karbon menjelang tahun 2050.

Beliau juga mengakui penggunaan teknologi hidrogen semakin meluas dan sedikit sebanyak akan memberi persaingan terhadap tenaga atau bahan api sedia ada seperti petroleum dan diesel.

“Ini satu trend dunia, semua negara lain sedang berusaha untuk mengurangkan pelepasan karbon termasuk negara pengeluar petroleum seperti Malaysia.

“Kita tak mampu nak elak, cuma buat masa ini walaupun ia dilihat mampu membantu dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar namun kos penggunaannya agak tinggi,” katanya.

Pada 5 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik bagi melaksanakan HETR yang membolehkan negara meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya US$189.19 bilion menjelang 2050.

Pelaksanaan HETR dijangka dapat menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan anggaran sumbangan antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here