SINGAPURA, 4 Jun – Pembangunan infrastruktur rentas sempadan perlu mempunyai struktur tadbir urus yang cekap dan berkesan bagi mengatasi kekangan yang mungkin wujud ekoran faktor persekitaran, komuniti dan ekonomi, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata mana-mana kerajaan serta pemegang taruh terlibat projek pembangunan antara dua negara atau lebih juga perlu mempunyai rangka kerja dasar dan perancangan serta memberi keutamaan untuk kerjasama serantau yang cekap.

“Selain itu, keupayaan persekitaran yang membolehkan projek merentas sempadan, termasuk penyelarasan peraturan dan perundangan untuk kepentingan bersama perlu diwujudkan.

“Kerajaan dan pemegang taruh terlibat juga perlu mengoptimumkan struktur kewangan dengan mengambil kira faedah dan risiko khusus untuk projek merentas sempadan,” katanya, pada Selasa.

Nanta berkata demikian pada sesi panel pertama Forum Infrastruktur Asia (AIF) 2024 yang  memfokuskan kepada tema ‘Merangka Peralihan Tenaga Hijau Asia.’ 

Dalam sesi yang berlangsung selama satu jam, beliau turut menekankan peranan penting infrastruktur sebagai pemboleh utama dalam mencapai inisiatif Peralihan Hijau.

Nanta berkata infrastruktur bukan sahaja asas kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, malah kesejahteraan rakyat juga bermula dengan ketersediaan akses kepada infrastruktur yang mampan dan berdaya tahan.

Beliau berkata pembinaan infrastruktur negara juga harus bersifat daya tahan bagi memastikan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi dan mampan dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan akibat perubahan iklim dan bencana alam.

Nanta berada di Singapura bermula Ahad bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Bandar Dunia (WCS) dan AIF 2024 yang berakhir Selasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here