ISKANDAR PUTERI, 8 Jun – Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai di Singkir, Kedah yang dipindahkan ke lokasi baharu di Taman Bukit Indah, di sini dijangka beroperasi di bangunan baharu pada 23 Jun ini.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata fasa pertama kemasukan akan melibatkan lebih 200 murid dengan sesi pembelajaran dijalankan di 11 kelas serta pelbagai kemudahan lain. 

Beliau berkata SJKC Poay Chai dipindahkan ke lokasi baharu atas beberapa faktor antaranya disebabkan masalah kekurangan murid di lokasi sedia ada.

“Lebih 200 murid yang akan memulakan sesi persekolahan di bangunan baharu ini terdiri daripada murid dari 11 SJKC berdekatan Taman Bukit Indah,” katanya pada sidang media selepas melawat sekolah berkenaan bersama Ketua Wanita MCA Wong You Fong di sini hari ini.

Wee berkata pembinaan sekolah baharu itu dapat menampung kemasukan murid di kawasan berdekatan dan jumlah kemasukan dijangka meningkat hingga 1,000 orang pada masa akan datang.

Menurut Wee MCA merupakan antara pihak yang berusaha memohon pembinaan sekolah terbabit yang diperlukan masyarakat Cina di kawasan itu memandangkan terdapat ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak mereka ke sekolah lebih jauh.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek pembinaan itu.

Sementara itu, Wong berkata kos bagi fasa pertama pembinaan sekolah itu mencecah RM15 juta, manakala fasa kedua dijangka siap lapan hingga 10 bulan dengan kos RM4 juta daripada KPM.

KPM pada 2017 mengumumkan meluluskan permohonan pemindahan lokasi enam SJKC iaitu SJKC Poay Chai, Singkir, Kedah yang dipindahkan ke Taman Bukit Indah, Johor dan SJKC Poi Min, Gopeng, Perak ke SJKC Poi Min, Puchong Selangor.

Turut dipindahkan ialah SJKC Aik Hua Taiping, Perak ke SJKC Aik Hua, Kota Seriemas Negeri Sembilan dan SJKC Ladang Regent Gemencheh, Negeri Sembilan ke SJKC Ladang Regent, Bandar Elmina Selangor dengan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) akan mengemukakan nama baharu bagi menggambarkan lokaliti sebenar selepas sekolah dipindahkan ke tapak baharu.

Pemindahan itu disebabkan beberapa faktor termasuk sekolah mempunyai enrolmen yang semakin berkurangan disebabkan migrasi penduduk, sekolah tidak selamat diduduki, pengambilan tanah oleh pemilik serta sekolah yang padat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here