SERIAN, 9 Jun – Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya membangunkan teknologi bagi menentukan isi padu pokok dan menganggar kandungan karbon hasil kerjasama dengan Institut Kebangsaan bagi Kajian Alam Sekitar Jepun (NIES).

Pengarah Hutan Sarawak Datuk Hamden Mohammad berkata kerjasama dengan NIES adalah antara beberapa kolaborasi dengan pihak antarabangsa bagi mengukuhkan pengurusan hutan, teknologi dan penyelidikan hutan di Sarawak.

Beliau berkata beberapa pegawai jabatan itu telah dihantar ke NIES yang berpangkalan di Tsukuba bagi menjalani latihan teknologi perhutanan berdasarkan kaedah penganalisaan data pengesanan dan penjulatan cahaya (LiDAR).

“Baru-baru ini juga pihak jabatan telah menjalin kerjasama strategik dengan Skogforsk Research Institute, Sweden bagi pemindahan kepakaran teknikal dalam industri perladangan hutan bagi memastikan pematuhan kepada polisi terkini Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR),” katanya.

Hamden berkata demikian semasa berucap di majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat Sarawak 2024 yang dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Agroperhutanan Sabal, kira-kira 60 kilometer dari sini hari ini.

Beliau berkata pada peringkat tempatan pula, JHS bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menjalankan kajian mengaplikasikan teknologi “drone seeding” sebagai kajian awal dalam program restorasi hutan.

Menurutnya komitmen jabatan itu untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti secara berterusan telah mendapat pengiktirafan menerusi kejayaan meraih beberapa anugerah sejak 2022.

Ini termasuk Anugerah Inovasi di Ekspo Teknologi Malaysia 2024; Inovasi Perkhidmatan Awam Asia  (pingat emas dan perak); Special Award Chinese Innovation and Invention Society (Taiwan); Anugerah Emas Premier Sarawak bagi Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak dan Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) Kategori Emas 2023.

Pada majlis sambutan itu, JHS turut menerima Sijil Malaysia Book of Records bagi kategori penanaman pokok Shorea macrophylla terbanyak dalam satu acara menerusi penanaman 3,010 pokok Engkabang jantong di Hutan Simpan Sabal pada 21 Mac lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here