NEW DELHI, 12 Jun – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun di timur India disahkan positif virus H9N2, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada 22 Mei, WHO menerima laporan daripada Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) National Focal Point (NFP) untuk India mengenai kes jangkitan virus selesema burung A (H9N2) membabitkan manusia di negeri Bengal Barat, lapor Agensi Anadolu.

“Pada 1 Feb, pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik di hospital tempatan kerana mengalami masalah pernafasan yang teruk, demam panas dan kekejangan perut.

“Pada 2 Feb, pesakit disahkan positif influenza B dan adenovirus di Makmal Penyelidikan dan Diagnostik Virus,” menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Kanak-kanak yang dijangkiti itu telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 28 Feb.

Ia merupakan kes jangkitan kedua bagi selesema burung A(H9N2) yang dimaklumkan kepada WHO dari India, dengan yang pertama pada 2019.

Kementerian Kesihatan India belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes ini.

Minggu lalu, WHO mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun setengah yang berasal dari Australia positif selesema burung H5N1 selepas melakukan perjalanan ke Kolkata, India.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here