KUALA LUMPUR, 20 Jun – Lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia adalah “satu pengiktirafan dari Beijing” kepada Kuala Lumpur sebagai  “rakan baik dalam susah dan senang” selama 50 tahun yang lepas, kata seorang felo di Majlis Profesor Negara, Prof Dr. Azmi Hassan.

Beliau berkata hubungan Malaysia dan China adalah “sebuah model hubungan antara negara kecil dan kuasa besar.”

“Walaupun Malaysia dianggap sebagai negara kecil dan China kuasa besar, hubungan ini berjaya menghasilkan situasi menang-menang,” katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program The Nation bertajuk “Membina Hubungan: Malaysia dan China,” yang disiarkan di Bernama TV pada Rabu.

Seorang lagi tetamu dalam program itu, Dr. Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Malaysia dan China telah mencapai kejayaan besar dalam perdagangan dan pelaburan, dengan jumlah perdagangan yang besar direkodkan selama bertahun-tahun.

Mengenai pertikaian Laut China Selatan, kedua-dua negara tidak membiarkan isu wilayah menjejaskan hubungan dua hala mereka, katanya.

Oh berkata kedua-dua negara kini perlu melihat ke hadapan untuk lebih banyak kerjasama dalam industri teknologi tinggi, Kecerdasan Buatan (AI), kenderaan elektrik, dan interaksi antara rakyat yang lebih erat.

Mengenai berita Malaysia merancang untuk menyertai kumpulan BRICS, beliau berkata langkah sedemikian boleh membolehkan Malaysia menarik pelaburan daripada ekonomi besar.

Walau bagaimanapun, Malaysia mesti proaktif dan melakukan libat urus dengan China dan Brazil untuk meneroka pasaran berkenaan dan tidak hanya menunggu pelaburan datang ke negara ini, katanya lagi.

Timbalan Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr. Lam Choong Wah, yang turut menjadi tetamu dalam program yang sama, berkata Malaysia dan China menikmati hubungan yang kukuh dan berkongsi pandangan yang serupa mengenai isu seperti serangan Israel ke atas Palestin dan perubahan iklim.

Dalam konteks ketegangan politik antara China dan Amerika Syarikat, “Malaysia berjaya berdikari untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dan dilihat tidak memihak,” katanya.

Menurutnya, kedudukan neutral ini telah memberi manfaat kepada Malaysia dengan penyertaan dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) yang dipimpin oleh Amerika Syarikat dan Inisiatif Jalur dan Laluan yang dipimpin oleh China.

Terdahulu, dalam program berasingan, penyampai Rangkaian Televisyen Global China (CGTN), Wang MangMang, yang muncul di Bernama World, berkata perkongsian ekonomi sentiasa menjadi tonggak utama hubungan dua hala Malaysia-China.

“Perkongsian ekonomi mungkin akan terus menjadi asas terbaik dalam kerjasama masa depan Malaysia-China,” katanya.

Menurut Wang, pada ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China ini, adalah penting untuk mengingati bagaimana hubungan yang semakin mendalam dan berpanjangan ini bermula.

Perjalanan yang dilalui oleh kedua-dua negara ini bersama-sama telah dan akan terus memberi kesan serantau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here