PUTRAJAYA, 20 Jun – Malaysia dan China bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama dalam Kerjasama Jendela Tunggal untuk berbincang dan mengkaji lebih mendalam pendekatan terbaik melaksanakan kerjasama jendela tunggal, terutamanya melalui inisiatif Jendela Tunggal Nasional (NSW) yang diterajui Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama jendela tunggal antara Malaysia dan China ini boleh meningkatkan kecekapan proses perdagangan rentas sempadan melalui pendigitalan proses kawal selia perdagangan, penghapusan keperluan mengemukakan dokumentasi lewah.

Selain itu, beliau berkata, ia juga akan  menggalakkan pertukaran maklumat yang lebih lancar serta tepat antara pemegang kepentingan dan rakan dagang lain.

“Usaha untuk membangunkan kerjasama jendela tunggal ini juga menyantuni aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan transformasi digital dan memudah cara perniagaan bagi merancakkan lagi ekonomi negara,” kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Kerjasama jendela tunggal yang dipersetujui ini dimaklumkan melalui kenyataan bersama oleh Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China bagi Kerjasama Jendela Tunggal dalam Perdagangan Rentas Sempadan yang ditandatangani bersama oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China Yu Jianhua.

Anwar menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri China Li Qiang di Perdana Putra hari ini sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup untuk membincangkan hubungan dua hala antara Malaysia dan China dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama serantau dan antarabangsa.

Antara inti pati hasil perbincangan dua hala itu adalah komitmen Malaysia dan China untuk memperkasa serta mempelbagaikan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

Pada suku pertama 2024, perdagangan Malaysia dengan China meningkat kepada RM112.28 bilion berbanding RM108.66 bilion pada tahun lalu. Ini meliputi jumlah eksport dari Malaysia ke China sebanyak RM44.5 bilion dan import dari China sebanyak RM67.78 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here