NEW DELHI, 21 Jun – Lima puluh orang miskin ditemukan mati di Delhi dalam tempoh 48 jam, dengan punca kematian disyaki gelombang haba yang melanda kawasan berkenaan.

Polis dan pegawai hospital yang dipetik dalam media India minggu ini melaporkan peningkatan mendadak dalam kematian “luar biasa” disebabkan suhu musim panas yang tinggi, iaitu pada beberapa hari mencecah hampir 49 darjah Celsius pada Mei dan Jun.

Mangsa yang maut tergolong dalam “latar belakang sosioekonomi yang kurang berkemampuan”, menurut laporan agensi berita PTI pada Rabu.

Suhu malam juga luar biasa tinggi pada musim panas ini, menyebabkan kesengsaraan kepada mereka yang tidak mempunyai akses kepada penyejuk udara air dan penyaman udara.

Pengawal keselamatan, penarik beca, pengemis dan mereka yang terpaksa melakukan kerja berat pada waktu siang menghadapi risiko tinggi mendapat strok haba.

Golongan gelandangan, yang dianggarkan lebih daripada 250,000 orang di Delhi, amat terdedah kerana mereka tidak mempunyai akses kepada air minuman yang selamat, makanan asas dan tempat perlindungan untuk melindungi diri daripada matahari yang terik.

Gelombang panas telah membunuh 192 orang gelandangan di Delhi dari 11 hingga 19 Jun, menurut kumpulan bukan kerajaan, Pusat Pembangunan Holistik.

Hospital Deen Dayal Upadhyay di Delhi melaporkan 40 kematian berkaitan haba antara 11 dan 18 Jun, menurut laporan laman web akhbar Hindustan Times pada Khamis.

Peningkatan jumlah kematian dalam dua atau tiga hari kebelakangan ini mungkin disebabkan oleh keadaan gelombang panas yang melampau di bandar itu, kata seorang pegawai hospital kepada jabatan kesihatan kerajaan Delhi dalam sepucuk surat pada Rabu, menurut laporan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here